Monday, July 7, 2008

Pemuda PAS Pahang kesal aksi 'tunjuk punggung' sempena protes

Petikan: Harakah Daily

Basiron Abdul Wahab

Mon | Jul 07, 08 | 3:58:56 pm MYT

KUANTAN, 7 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pahang melahirkan rasa kesal yang amat sangat terhadap Jawatankuasa Protes kerana 'aksi tunjuk punggung' semasa Himpunan Memprotes Kenaikan Harga Minyak semalam.

Ketuanya, Ustaz Suhaimi Md Saad berkata, aksi memualkan itu membelakangi akhlak Isam dan budaya himpunan yang sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat telah menjadi himpunan ala 'fun fair'.

Dalam kenyataanya Suhaimi berkata, kehadiran ahli Pemuda PAS beramai-ramai ke perhimpunan itu adalah untuk ditipu oleh penganjur Protes dan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan harga minyak dan barangan telah dipermainkan.

Sehubungan itu Pemuda PAS Pahang mendesak Jawatankuasa Protes meletakkan jawatan dan bertanggung jawab di atas aksi 'tunjuk punggung' di Pentas Kelana Jaya.

Berikut adalah kenyataan penuh Dewan Pemuda PAS Pahang.

Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa kesal atas insiden yang berlaku semasa penganjuran Himpunan Rakyat PROTES kali ini. Apa yang kita bimbangi berlaku dalam himpuan PROTES menjadi kenyataan. Memualkan dan menjelekkan apabila acara pentas membelakangkan akhlak Islam dan budaya luhur masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Himpunan yang sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat menjadi himpunan �ala Fun Fair�.

DPPNP telah dimaklumkan hasil perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS Pusat dengan jawatankuasa PROTES yang bersetuju untuk menggugurkan semua aktiviti nyanyian yang melibatkan band dan kumpulan-kumpulan tertentu sebagaimana yang tertera di poster sebelum ini. Tetapi malangnya Pemuda PAS turun beramai ramai hanya untuk ditipu oleh jawatankuasa PROTES.

Nama besar seperti PROTES tidak seharusnya menyajikan acara pentas sebegitu. Seharusnya kita belajar dari Kejayaan Himpuan BERSIH. Walaupun tekanan yang begitu hebat namun ia gagal mengekang kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.

Semua rakyat terkesan dengan kenaikan harga minyak. Seharusnya himpunan ini lebih berjaya dan bermakna daripada Himpunan BERSIH.

Kami hadir kerana mahu membantah kenaikan harga minyak dan mahu mendesak agar kerajaan UMNO dan BN memahami derita rakyat lalu menurunkan harga minyak. Kami bukan datang untuk berhibur.

Suka diingatkan DPPNP bukan anti hiburan. Himpunan semurni ini bertujuan untuk membawa keluhan rakyat tidak sepatutnya bercampur aduk dengan hiburan ala barat.

Walaupun kami dimaklumkan liriknya mengutuk kedajalan Umno/BN, seperti lagu Hantu Raya di Putrajaya tetapi tak ada perkataan yang boleh difahami disebabkan muzik yang bingit dan menenggelamkan suara penyanyi. Dengan aksi londeh seluar dan tunjuk punggung menjadikan aksi itu lebih sesuai digelar �Hantu Raya di Pentas Kelana Jaya�.

Jawatankuasa PROTES seolah-oleh memperbodohkan peserta perhimpunan yang datang dari seluruh negara. Kesengsaraan rakyat jelas dipermainkan.

PROTES sampai turun bertukar kepada PROTES sampai nampak punggung!. Ahli jawatankuasa PROTES yang bertangung jawab membawa budaya buruk ini seharusnya disingkirkan daripada jawatankuasa Himpunan Rakyat pada masa akan datang.

DPPNP mengutuk acara hiburan ala barat dan aksi-aksi pentas terlampau yang berlaku dalam Himpunan PROTES dan seharusnya ia menjadi pengajaran kepada semua.

Sekian

SUHAIMI BIN MD SAAD
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...