Monday, July 28, 2008

Lebih separuh sokong Shahidan

Malaysia Kini
Abdul Rahim Sabri
Jul 28, 08 4:29pm

Lebih separuh daripada 123 cawangan Umno di bahagian Arau mencalonkan semula Datuk Seri Shahidan Kassim, meninggalkan pencabarnya jauh di belakang, setakat ini.

Setiausaha bahagian Seruandi Saad berkata lebih kurang 70 cawangan yang bermesyuarat setakat ini menamakan kembali bekas menteri besar itu.

Mesyuarat cawangan-cawangan itu yang bermula 19 Julai lalu juga tidak mencalonkan sebarang nama lain kecuali dua untuk Amier Hassan, setiausaha politik menteri besar kini Datuk Dr Md Isa Sabu.

Seruandi bagaimanapun tidak dapat memberikan angka tepat jumlah cawangan yang telah mengadakan mesyuarat agung kerana berada di luar pejabat sewaktu dihubung Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur membenarkan cawangan-cawangan di bahagian itu mengadakan mesyuarat dalam satu suratnya yang diterima dua minggu lepas.

Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat di bahagian itu bagi bersiap menghadapi kemungkinan pilihanraya kecil di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang terletak bawah bahagian tersebut.

Selain Amier, dua lagi yang berminat mencabar ketua perhubungan Umno Perlis itu - wakil rakyat Pauh, Syed Razlan Jamalullail dan ahli jawatankuasa bahagian itu Azlan Man.

Amier setakat ini mendapat dua pencalonan daripada cawangan yang telah bermesyuarat, sementara dua lagi belum mendapat sebarang pencalonan.

Lebih 40 cawangan di bahagian Arau belum mengadakan mesyuarat, kebanyakannya di DUN Pauh dan Guar Sanji.

Sumber-sumber Umno melihat perkembangan ini sebagai Shahidan masih lagi seorang pemimpin yang "berbisa dan mantap" yang membuatkan pencabar-pencabarnya sukar menembusi kubu-kubunya.

"Tidak dinafikan 13 tahun menjadi menteri besar, memberi kesan yang mendalam kepada hati dan sanubari terutama rakyat Perlis di Arau," kata sumber, mengulas pencalonan besar kepada bekas menteri besar itu.

Menurut pengamat, walaupun 11 tahun Amier tidak aktif berpolitik, dua pencalonan awal itu menampakkan kemampuannya menggerakkan semula jenteranya di peringkat akar umbi.

Amier masih berpeluang mencabar Shahidan jika mendapat pencalonan 23 lagi cawangan sebelum atau pada mesyuarat terakhir cawangan-cawangan pada 23 atau 24 Ogos ini.

Calon bagi jawatan ketua bahagian memerlukan 20 peratus daripada jumlah cawangan, timbalan ketua (15%), naib ketua (10%) dan ahli jawatankuasa (2 cawangan).

Ezam sedia cabar Anwar dalam pilihan raya kecil?

mStar Online
28-07-2008 03:11:53 PM

PETALING JAYA: Bekas anak buah lawan ketua? Kerusi belum kosong lagi tetapi cabaran sudah menanti untuk disaksikan?

Nampak gaya, bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor bersedia untuk menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya diadakan pilihan raya kecil di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

"Saya tidak gentar menghadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu sekiranya dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk bertanding," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed Ezam menyertai UMNO selepas menghantar borang keanggotaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 28 Mei lalu.

"Pertamanya saya ahli biasa dalam UMNO. Jadi soal pertandingan pilihan raya kecil itu apatah lagi menentang Anwar, baik dijelaskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Tapi saya juga ingin menegaskan dan menjelaskan sekali lagi memang saya bersedia.. saya tidak gentar langsung untuk berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya diminta untuk mewakili parti dalam pilihan raya kecil itu nanti," katanya.

Ezam merupakan bekas Setiausaha Sulit kepada Anwar, dari tahun 1996 hingga bekas ketuanya itu dipecat daripada kerajaan dan parti pada September 1998.
Beliau keluar daripada PKR dua tahun lalu dan dua bulan yang lalu menyertai Umno.

Kelmarin, Anwar yang pernah mengumumkan akan bertanding kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Kedah, melahirkan minat untuk mencuba nasib di kawasan Bandar Tun Razak.

Selari dengan pengumuman itu, Anwar juga berkata, pihaknya masih yakin akan membentuk kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September ini.

Bagaimanapun kata Anwar, beliau hanya akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya minggu depan.

salah satu strategi untuk mengembalikan populariti diri yang telah dipandang sepi. jangan kena makan dek sumpah udah lah.

Doktor: Tiada kesan Saiful diliwat

Malaysia Kini
Jul 28, 08 2:55pm

Tiada bukti Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah mengalami hubungan seks luar tabie seperti itu - demikian hasil pemeriksaan seorang doktor di sebuah hospital swasta, kira-kira empat jam sebelum membuat laporan polis sebulan lalu.

Hospital Pusrawi 280708.jpgMenurut salinan laporan perubatan terhadap bekas pembantu Anwar itu, Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi mengadu mengalami "tenesmus" - kesukaran dan kesakitan membuang air besar.

Dipercayai pemuda 23 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital di Jalan Tun Razak itu kira-kira jam 2 petang pada 28 Jun sebelum diminta ke sebuah hospital kerajaan dan kemudian membuat laporan polis.

Ketika di Hospital Pusrawi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.

Dalam laporannya itu, doktor tersebut menyatakan pesakit itu mendakwa diserang dengan dijolok bahan "plastik" di bahagian duburnya.

Mohamed Osman, seperti tercatat dalam laporannya yang direkodkan pada jam 2.14 petang, mendapati dubur Mohd Saiful "tidak mengalami pendarahan aktif", "tiada kesan ulser atau nanah", dan "tiada kesan koyak atau calar".

Beliau juga menyatakan pemuda itu kelihatan "jaga", "selesa", "tidak pucat" dan tidak menunjukkan sebarang tanda demam.

sedikit demi sedikit konspirasi akan terbongkar.

Laporan perubatan tiada kesan liwat atas Saiful ada niat jahat

mStar Online
28-07-2008 07:45:26 PM

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif ketika dihubungi menyifatkan, laporan Malaysiakini yang mendakwa ada laporan perubatan tiada kesan liwat ke atas Saiful berniat jahat bagi memberi gambaran tidak berlakunya perbuatan liwat.

“Laporan ini mempunyai unsur mala fide. Apa juga bentuk laporan sama ada kesan calar ada atau tidak, tiada siapa boleh buat kesimpulan liwat tidak berlaku selagi perkara berkenaan tidak dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Lagi pun jelasnya, prosedur pemeriksaan juga mestilah mengikut prosedur siasatan sekiranya ia melibatkan aduan jenayah.

Menurut Dr Latif, jika benar ada laporan doktor mengenai isu liwat berkenaan disebarkan, Saiful sebagai pesakit boleh membuat aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia.

"Jika benar, doktor berkenaan boleh disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971. Ini kerana katanya, doktor mempunyai sumpah kerahsiaan dengan pesakit," jelasnya lagi.

Tambah beliau, mengikut etika tiada doktor boleh mendedahkan laporan pesakit kecuali laporan berkenaan mempunyai kaitan dengan siasatan jenayah dan dibawa ke mahkamah.

Katanya lagi, beliau berkata, jika laporan pesakit segaja didedahkan "itu adalah di luar tabie."

Sebelum ini, laman berita Malaysiakini dalam laporannya hari ini mendakwa telah memperolehi laporan dua muka surat oleh seorang doktor yang memeriksa Saiful Bukhari Azlan yang menyatakan tidak terdapat kesan liwat seperti yang didakwa.

Laporan hospital Pusrawi itu yang dikatakan telah tersebar luas memetik laporan seorang doktor, Mohd Osman Abdul Hamid yang melakukan pemeriksaan ke atas Saiful yang dikatakan telah pergi ke hospital itu terlebih dahulu sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum ini, Saiful dalam laporan polisnya mendakwa telah diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, sumber terdekat dengan rapat dengan Saiful Bukhari mempertikaikan kesahihan dokumen yang dikatakan sebagai laporan perubatan yang menyebut tiada kesan liwat terhadap Saiful.

Kata sumber itu, berdasarkan kertas yang diedarkan itu, itu bukan laporan perubatan sebaliknya hanya berupa catatan.

"Jika ia laporan perubatan, ia mestilah dalam format tertentu yang ditetapkan dan ada prosedur tertentu yang mesti dipenuhi oleh seorang doktor sebelum laporan berkenaan boleh diterima dan dibentangkan di mahkamah," kata sumber itu.

Jui Meng Kekal Di Bakri, Tiada Halangan Bertanding Jawatan Tertinggi MCA

28 Julai, 2008 00:30 AM

Oleh Alan Ting

MUAR, 28 Julai (Bernama) -- Bekas Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng kini sedia untuk kembali berpolitik secara aktif selepas mengekalkan jawatan Ketua MCA bahagian Bakri, di sini hari Ahad.

Berikutan kejayaannya menewaskan dua pencabar lain untuk jawatan itu, Chua disebut-sebut akan bertanding satu daripada dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan MCA peringkat kebangsaan Oktober ini.

Chua, yang juga bekas Menteri Kesihatan, mengekalkan jawatan dalam bahagian MCA terbesar di Johor selepas memperoleh 226 undi, menewaskan setiausaha bahagian Tay Kim Seng yang mendapat 134 undi dan Timbalan Pengerusi cawangan Jalan Bandar William Tan Geok San yang meraih tujuh undi.

Sejumlah 369 perwakilan, mewakili 16,000 anggota sah dari 39 cawangan mengundi dalam pertandingan yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Chua menyandang jawatan pengerusi MCA bahagian Bakri sejak 1986. Bahagian itu juga satu daripada beberapa bahagian MCA yang besar di negara ini dan bahagian Kapar menjadi bahagian terbesar di Selangor dengan 17,000 anggota sah.

Bercakap kepada Bernama selepas keputusan diumumkan, Chua yang kelihatan sangat gembira, berkata beliau kini mempunyai "tiket untuk perjalanan di lebuh raya dari Bakri (Johor) ke Kuala Lumpur."

"Perwakilan bahagian telah menyangkal serangan peribadi yang membabitkan reputasi saya terutamanya dalam beberapa akhbar berbahasa Cina. Demokrasi telahpun bersuara dan saya kini seorang delegasi pusat," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan khusus jawatan apakah, sekiranya ada, yang akan ditandinginya di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, naib presiden MCA Datuk Seri Dr Fong Chan Onn mengekalkan jawatan Ketua MCA bahagian Alor Gajah (Melaka) dengan mengalahkan bekas naib presiden bahagian itu, Ngow Duo Soon.

Fong mendapat 166 undi berbanding Ngow 120 undi.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman keputusan, Fong berkata beliau masih belum menentukan jawatan yang akan ditandinginya di peringkat kebangsaan.

"Saya mahu memperkukuhkan MCA, terutamanya MCA Melaka bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ada banyak kerja untuk dilakukan," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, July 27, 2008

Ezam Trying to Deliver Perak to BN

Saya mendapat maklumat dari kawan saya dalam kem Ezam Mat Nor bahawa mereka akan cuba untuk menarik ADUN PKR yang berbangsa Melayu untuk masuk ke Barisan Nasional, seterusnya, menguling Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Barang diningat bahawa pecahan kerusi di Perak adalah PR: 31 dan BN: 28. Ini bererti Barisan Nasional hanya memerlukan 2 ADUN Pakatan Rakyat untuk melompat ke Barisan Nasional dan ianya mencukupi untuk menumbang kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Percubaan pertama mereka adalah untuk menarik PAS. Ianya berlaku 2 hari selepas keputusan pilihanraya diumumkan. UMNO/BN telah menawarkan kerusi Menteri Besar serta 5 exco kepada Ustaz Ahmad Awang, yakni Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.

Tetapi tawaran UMNO/BN telah ditolak mentah-mentah oleh Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad Awang berkata “Antara DAP yang bukan Islam dan UMNO yang zalim, lebih aula bekerjasama dengan DAP yang bukan Islam berbanding UMNO yang zalim”.

Percubaan kedua adalah untuk menarik ADUN DAP. Malangnya di dalam percubaan pertama mereka, ADUN DAP tersebut telah membuat laporan polis dan ianya telah memberhentikan segala usaha mereka.

Untuk percubaan ketiga mreka, kebetulan pula Ezam Mat Nor masuk UMNO dan Ezam Mat Nor adalah sahabat karib Dr Zambery Kadeer, wakil Pos DUN Pangkor. UMNO membuat keputusan untuk tidak bertindak tergesa-gesa seperti yang mereka buat dengan wakil DAP tempohari.
Mereka bercadang untuk menyediakan suasana yang sesuai dahulu sebelum mereka menarik ADUN2 Melayu dari PKR. Suasana yang dimaksudkan itu adalah suasana ketakutan hilangnya kuasa dan pengaruh Melayu dalam kerajaan Perak.

Samada kita sedar atau tidak, mereka telah mulakan perang saraf ini. Kemuncak dari Perang Saraf ini adalah berjayanya mereka membeli abang Menteri Besar Perak untuk menimbulkan cerita fitnah Perjanjian Pangkor 2.

Diharapkan apabila tahap ketakutan di kalangan pengundi Melayu di Perak berada di tahap yang tinggi, maka pengundi2 melayu di kawasan ADUN MElayu PKR akan memaksa ADUN mereka menyertai Barisan Nasional.

Ditambah pula dengan pujuk rayu yang dijalankan secara senyap oleh Ezam Mat Nor yang mengenali ramai ahli2 PKR di Perak, ianya menjadikan tugas menarik ADUN ini lebih mudah.

Si saat sekarang pengundi Melayu di Perak rata2 sedang resah dan racun mereka sedang berjalan secara aktif. Ezam Mat Nor pun sudah mula memasukkan jarum-jarum mereka.

Tetapi setakat ini ADUN2 Melayu PKR ini masih belum dapat di ubah pemikiran mereka. Sumber saya dalam kem Ezam memberitahu, kesilapan Ezam adalah beliau masuk UMNO dahulu. Sepatutnya Ezam memujuk mereka dahulu dan masuk UMNO bersama mereka. Ingat PKR ada 3 ADUN Melayu dan BN hanya perlu dua.

Tetapi kita tidak tahu berapa lama lagi suasana ini akan berterusan dan berapa lama lagi mereka ini dapat bertahan. DI harap pimpinan2 PKR Pusat dapat mengambil tindakan yang proaktif bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan PR di Perak.

Dr Zambery Kadeer, wakil POS DUN PAngkor telah menjanjikan Ezam ganjaran yang lumayan sekiranya Ezam berjaya dalam tindakan kotor beliau. Ezam pun tengah resah kerana sambutan terhadap beliau, baik dari orang umum mahupun ahli UMNO semakin dingin, yakni sedingin salju. Jadi, Ezam amat memerlukan benda ini untuk menaikkan saham beliau dalam UMNO yang semakin merudum.

Dr Zambery pula yakin beliau akan menjadi MB Perak kerana beliau adalah kroni rapat dengan budak2 tingkat 4 dan yakin beliau akan menggantikan Tajol Rosli kelak.

- Tulang Besi

26.07.2008

Penyelenggaran Kereta Exco RM 1.1 juta, AMK buat laporan polis

Laman Marhaen

26 Julai 2008 11:55:34 am

//buletinonline.net/images/berita8/img_0039.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu memohon agar suatu siasatan segera dilakukan oleh pihak polis keatas kos ‘terlampau’ penyelenggaraan kereta

Proton Perdana V6 eksekutif yang digunakan oleh exco kerajaan negeri Terengganu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua AMK Terengganu, Mohd Fariz Musa dalam laporan polis yang dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu jam 3.02 petang hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan akhbar kelmarin, Menteri Besar Terengganu menyatakan kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Eksekutif bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh selama lima tahun bermula 2004 hingga 2008 berjumlah RM235,123.08.

Menurut beliau ia adalah satu jumlah yang amat banyak, membelanjakan wang rakyat dan wang kerajaan negeri Terengganu.

”Walaupun telah dibetulkan (oleh SUK) menjadi RM131,449.83, ia masih satu jumlah yang amat besar,
”dalam keadaan rakyat terbeban dengan isu kenaikan harga minyak sekarang, ia adalah keterlaluan,
”perlu dijelaskan secara terperinci,”katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

//buletinonline.net/images/berita8/fariz.jpg” cannot be displayed, because it contains errors. Beliau yang juga Timbalan Ketua AMK Malaysia berkata walaupun BPR telah melakukan penyiasatan, tetapi ia belum berbaloi (belum ada tindakan apa-apa).

Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong menyatakan berdasarkan rekod perbelanjaan menyelenggara kereta rasmi Idris yang menggunakan nombor pendaftaran TS 12, sebanyak RM2,303.48 dibelanjakan pada 2004; RM18,378.76 (2005); RM33,261.37 (2006); RM49,582.81 pada tahun lalu dan RM27,923.41 tahun ini.

”Manakala Perbelanjaan keseluruhan penyelenggaraan 16 kereta digunakan Exco serta pegawai tinggi kerajaan negeri dalam tempoh empat tahun berjumlah RM1,071,668.82,”ujar Mokhtar semalam

Sehubungan dengan itu, Fariz berharap Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya bersikap telus dan profesional serta menyiasat perkara tersebut hingga ke akar umbi.

“Jangan sampai ikan bilis tertangkap, ikan jerung (pula) terlepas,”tambahnya.

Turut menemani beliau adalah Timbalannya AMK Terengganu, Muzafeq Affyulzalfuzam Mohamad dan dua exco AMK Terengganu yang lain.

http://buletinonline.net

MCA: Anak Liong Sik dipilih Ketua Bahagian SegambutKUALA LUMPUR: Ling Hee Kiat (gambar), anak bongsu bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik, hari

KUALA LUMPUR: Ling Hee Kiat , anak bongsu bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik, hari ini memenangi jawatan Pengerusi MCA Bahagian Segambut dengan memperolehi majoriti besar mengalahkan timbalan pengerusi bahagian itu, Tan Hoe Chieow.

Dalam pertandingan satu lawan satu itu, Ling meraih 117 undi dengan satu undi rosak sementara Tan hanya mendapat 62 undi.

Ling, 36, berkata, beliau bertanding merebut jawatan itu untuk bergiat cergas dalam bahagian utama parti itu berbanding sayap Pemuda.

Sebelum ini beliau adalah Ketua Pemuda MCA Bahagian Segambut selama dua penggal.

"Saya berada di dalam sayap Pemuda lebih 12 tahun dan dua penggal sebagai Ketua Pemuda, saya fikir masanya adalah tepat," katanya kepada pemberita selepas membuang undi bagi jawatan itu pada Mesyuarat MCA Bahagian Segambut di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Beliau membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu setelah Pengerusinya Datuk Khoo Lay Hin berhasrat untuk bersara setelah memegang jawatan itu selama 12 tahun selain untuk memberi peluang kepada muka.

Ketika ditanya sama ada pengaruh bapanya yang pernah menerajui parti itu selama 17 tahun membantu undiannya, beliau berkata, faktor bapanya itu sentiasa berada di mana-mana.

"Apapun, akhirnya saya perlu membuktikan kemampuan saya kerana orang akan melihat apa yang saya boleh buat atau tidak," katanya.

Proses pengundian itu bermula pada pukul 11.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudiannya.

Selain jawatan pengerusi, turut dipertandingkan ialah satu jawatan timbalan pengerusi, empat naib presiden, 10 ahli jawatankuasa dan 14 perwakilan ke Mesyuarat Agung Tahunan parti itu pada Oktober ini. BERNAMA

Caturan bentuk regu menjelang pemilihan MCA

27-07-2008 08:08:44 PM

KUALA LUMPUR: Sejak mengumumkan hasratnya bertanding bagi jawatan presiden MCA, naib presiden parti itu, yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat, kekal dengan pendirian untuk tidak membentuk sebarang pasukan bagi menghadapi pencabar beliau.

Walaupun anggota MCA dan beberapa pemerhati meramalkan bahawa pemilihan parti itu, yang dijadualkan berlangsung Oktober ini, mencerminkan perebutan jawatan antara
Team A dan Team B semasa yang wujud ketika krisis kepimpinan parti itu pada 2003, namun persoalannya sekarang ialah sejauh manakah peluang bagi Tee Keat untuk memenangi jawatan berkenaan dengan bertanding secara solo.

Seorang anggota lama parti dan beberapa anggota MCA lain berpendapat Tee Keat perlu mempunyai kumpulan dan bertanding secara solo tidak memberi banyak harapan bagi beliau kerana ranjau yang perlu dihadapi amat menyeksakan.

Pencabar beliau dikatakan telah menghimpunkan "sekumpulan calon hebat", yang disokong beberapa pemimpin berpengaruh, termasuk bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Ling bagaimanapun menafikan beliau membentuk sebuah pasukan bagi menghadapi pemilihan itu, tetapi mengaku beliau ada berbincang dengan beberapa pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai "hanya satu perbualan biasa".

Kumpulan itu dikatakan dianggotai saki baki anggota Team A sewaktu krisis kepimpinan MCA dulu, yang memaksa Ling mengundurkan diri daripada politik melalui pelan damai yang disyorkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara tokoh yang dikatakan menganggotai pasukan itu ialah bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Naib-naib Presiden, Datuk Donald Lim dan Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn; Ketua Wanita MCA, Datuk Dr. Ng Yen Yen dan dua anak lelaki, Dr. Ling Datuk Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

"Nampaknya Soi Lek akan berentap dengan Tee Keat, dengan mendapat sokongan penuh daripada pasukan itu.

"Jika ini terjadi, macam mana Tee Keat nak bertanding jika beliau tidak ada kumpulan," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi.

Semasa bercakap dengan Bernama baru-baru ini, Dr. Chua tidak menafikan wujudnya kumpulan itu dan berkata, beliau bercadang untuk kembali semula serta mempunyai pasukan yang akan membantunya dalam pertandingan itu nanti.

"Mungkin saya telah bersara secara diam-diam daripada politik kalaulah bukan kerana keadaan yang berlaku selepas saya mengaku bahawa sayalah orang dalam VCD berkenaan. Mereka layan saya macam pariah.

"Kalaulah mereka layan secara lebih beradab, mungkin saya telah bersara secara terhormat dan tidak lagi berhasrat untuk kembali aktif dalam politik," katanya.

Walaupun Dr. Chua tetap membisu tentang jawatan yang akan beliau tandingi, namun pemimpin ini tidak menafikan bahawa beberapa pemimpin MCA serta ahli politik senior dan veteran parti itu akan memberi sokongan jika beliau membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti.

"Sesetengah orang masih berpendapat saya mempunyai pengalaman. Saya ahli politik yang berterus terang. Mereka berpendapat saya memiliki keberanian bagi menyuarakan isu yang melibatkan mereka," katanya.

Anggota dan orang dalam MCA meramalkan Dr. Chua akan bertanding bagi jawatan Presiden dengan memilih Donald Lim sebagai regunya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden dan Fong serta Dr Ng sebagai regu bagi merebut jawatan Naib Presiden.

Beberapa penyokong Tee Keat berkata, mereka tidak nampak wujud sebarang masalah sekiranya Menteri Pengangkutan itu ingin bertanding secara solo.

"Kenapa tidak? Selama ini pun, apa yang dipanggil `cai tan' (senarai calon), lebih bertujuan bagi menampilkan kepentingan sesuatu pasukan... ia bukan kerjasama secara berpasukan dalam erti kata sebenar.

"Demi kebaikan masyarakat Cina, kenapa tidak? Kalau seseorang itu bekerja atas dasar kerjasama berpasukan dalam erti kata sebenarnya, ia tak jadi masalah," kata bekas senator Tan Boon Yu.

Bagaimanapun, penyokong lain agak cemas apabila berdepan dengan keputusan Tee Keat untuk bertanding secara solo dengan berkata dalam politik sebenar, pendekatan "ala lone ranger" tidak wajar diamalkan.

Mereka menjadi lebih gusar apabila memikirkan tentang kemungkinan Tee Keat akan berdepan dengan sebuah pasukan kuat, yang memiliki kehebatan daripada segi politik dan sumber kewangan.

"Saya telah menasihati beliau supaya mengkaji semula pendekatan itu. Sekurang-kurangnya, beliau perlu mempunyai sekumpulan penyokong untuk membantu beliau," kata pengerusi MCA Bahagian Pandan Eric Ong, penyokong kuat Tee Keat.

Seorang individu yang merupakan orang dalam MCA berkata, Tee Keat perlu melihat kembali keputusan pemilihan parti pada 2005.

"Pada 2005, Tee Keat menduduki tempat ketiga dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden, di belakang Fong dan Dr. Chua. Itu pun setelah mendapat sokongan daripada Pergerakan Pemuda.

"Memanglah, apabila beliau bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda MCA pada 1999, beliau melakukannya secara solo dan menang. Tapi sekarang, beliau perlu berfikir dengan mendalam jika ingin bertanding bagi jawatan Presiden," katanya.

Bekas Naib Presiden MCA, Tan Sri Lee Kim Sai, yang pernah menjadi mentor politik Tee Keat, meragui hasrat Tee Keat untuk bertanding secara solo bagi merebut jawatan presiden MCA.

Beliau berkata, bertanding secara solo hanya merupakan cara Tee Keat untuk menyatakan bahawa beliau tidak mahu mewujudkan kumpulan dalam MCA.

"Kadang-kadang, orang tak perlu beritahu anda bahawa anda adalah rakannya. Ada masanya, bahasa tubuh mereka akan menerangkan perkara itu kepada anda.

"Mempunyai pasukan bukan perkara yang tidak baik. Apa yang kami tak mahu lihat ialah wujudnya keadaan berpuak-puak. Saya tidak fikir beliau (Tee Keat) akan berjuang secara berseorangan dan memberitahu orang lain supaya jangan menghalangnya, kerana jika anda buat begitu, anda sebenarnya menuju ke lubang kubur.
"Kalau ada orang memberi sokongan, beliau akan cuba mengelak wujudnya andaian bahawa beliau membentuk suatu puak. Itu memang gaya beliau," kata Lee kepada Bernama.

Tee Keat pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Lee ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kesihatan pada 1990an.

Tetapi, sekiranya Tee Keat membuat keputusan untuk mempunyai regu, soalan seterusnya ialah siapakah yang akan beliau pilih?

Ketua Pemuda MCA, yang juga Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai seolah-olah menjawab soalan ini apabila beliau mengumumkan bahawa beliau tidak bertanding bagi jawatan nombor satu parti, sebaliknya akan menyokong Tee Keat merebut jawatan Presiden.

"Saya mengagak beliaulah yang menjadi regu Tee Keat berdasarkan manifesto pemilihan," kata seorang anggota MCA yang enggan dikenali.

"Bagaimanapun, langkah paling selamat bagi Liow ialah bertanding bagi jawatan Naib Presiden. Tapi, siapa lagi yang akan menjadi regu Tee Keat kalau bukan Liow?" tanya seorang pemimpin bahagian.

Sesetengah anggota MCA percaya Liow mengambil langkah yang berisko tinggi sekiranya beliau bertanding bagi jawatan Naib Presiden kerana terdapat "pihak berkepentingan" yang ingin mengalahkan beliau bagi mengambil alih jawatan menteri yang beliau sandang.

Seorang pemimpin peringkat akar umbi dari Perak berkata, beliau percaya Tee Keat tidak mungkin memilih Datuk Ong Ka Chuan, abang kepada Presiden MCA Datuk Seri
Ong Ka Ting sebagai regunya kerana penyokong tegarnya dikatakan menasihati beliau supaya tidak berbuat demikian.

Ketika Tee Keat bergelut dengan persoalan siapakah yang patut beliau pilih sebagai regunya sekiranya beliau ingin berbuat demikian, pemerhati politik sudah menemui jawapan tentang ke manakah arah tuju seorang lagi bekas Naib Presiden, MCA Datuk Chua Jui Meng.

"Kedua-dua pihak sedang mencari siapakah yang akan menjadi regu masing-masing sekiranya mereka berjaya mempertahankan jawatan pengerusi bahagian," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi.

Jawapan kepada soalan ini akan menjadi lebih jelas apabila keputusan pemilihan bahagian diumumkan hari ini. BERNAMA

Sudah jatuh ditimpa tangga buat Hwa Beng

27-07-2008 08:43:06 PM

KUALA LUMPUR: Anggota Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Lee Hwa Beng menerima kekalahan kali kedua dalam arena politiknya apabila gagal mempertahankan jawatan Ketua bahagian MCA Kelana Jaya yang disandangnya selama lima penggal dalam pemilihan bahagian parti itu hari ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, beliau tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat, Loh Goh Burne di kawasan Parlimen Kelana Jaya.

Dalam pemilihan parti hari ini, Lee yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang tewas kepada Ketua Wanita bahagian, Ong Chong Sian.

Lee mendapat 76 undi berbanding Ong sebanyak 82 undi.
Ong semalam menang jawatan Ketua Wanita bahagian pada pemilihan sayap Wanita dan Pemuda.

Ong pada pilihan raya umum tewas dalam pertandingan di kawasan Dewan Undangan Negeri Subang Jaya kepada Hannah Yeoh dari DAP. BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...