opie@hmetro.com.my
LANGKAWI: Pendapatan kira-kira 80,000 penduduk terutama yang berkaitan dengan sektor pelancongan dijangka terjejas teruk apabila 68 hotel bajet di sini, bakal gulung tikar mulai Ogos ini berikutan langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan termasuk tidak mengadakan program.
Malah, lebih 10,000 kakitangan hotel yang kebanyakannya golongan muda berdepan risiko menjadi penganggur apabila diberhentikan secara beramai-ramai oleh majikan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Datuk Nawawi Ahmad, berkata sebelum ini, sektor perhotelan yang meriah dengan seminar dan mesyuarat sektor awam berubah serta merta mulai awal minggu lalu.
“Ini kerana sektor awam tidak lagi dibenarkan mengadakan mesyuarat dan seminar di hotel selaras arahan kerajaan menerusi pekeliling perbendaharaan yang diedarkan kepada ketua jabatan kerajaan, pertengahan bulan ini.
“Saya juga yakin langkah itu boleh membunuh sebahagian besar pengusaha hotel bajet dan chalet terutama golongan Bumiputera di pulau ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Terdahulu, beliau menerima memorandum meminta kerajaan mengkaji semula langkah itu daripada wakil pengusaha hotel bajet di Langkawi, Ismail Abdul Rahman.
Hadir sama, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Langkawi (MPTL), Shaharudin Itam.
Nawawi berkata, kira-kira 70 peratus pendapatan industri hotel dan chalet di Langkawi bergantung kepada pakej kursus dan seminar daripada agensi kerajaan sekali gus turut menjejaskan pendapatan penduduk tempatan.
“Ramai pengusaha hotel membayangkan mahu menutup operasi masing-masing mulai Ogos ini kerana tidak mampu lagi menanggung kerugian antara RM100,000 hingga RM350,000 sebulan selepas kerajaan menghentikan kursus dan seminar di hotel.
“Bayangkan apa akan jadi kepada lebih 7,500 bilik yang dimiliki oleh 75 hotel dan chalet termasuk tujuh hotel bertaraf lima bintang di pulau ini. Kita bersusah payah membangunkannya sejak 21 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, langkah penjimatan yang bakal dilakukan kerajaan tidak seharusnya sehingga membebankan pengusaha dan pekerja hotel yang kebanyakannya golongan muda.
“Bayangkan nasib pengusaha hotel dan kakitangan yang ada, apabila semua tempahan yang dibuat sehingga akhir tahun ini dibatalkan serta-merta, mana hendak dapatkan wang untuk bayaran gaji pekerja?
“Sebagai pengusaha hotel yang bergantung kepada pakej seminar dan mesyuarat agensi kerajaan, kami tiada pilihan melainkan terpaksa membuang pekerja mulai Ogos ini,” katanya yang juga Pengarah Urusan Chandek Kura Hotel Sdn Bhd, di sini. hotel daripada Ismail (kanan) di Langkawi, semalam.
No comments:
Post a Comment