Saturday, June 28, 2008

Tiga penjenayah mandi peluh

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tiga penjenayah amatur bermandi peluh hampir dua jam apabila usaha mereka untuk memecah masuk syarikat produksi filem terkenal, Sri Saheb Production Sdn Bhd di sini, menemui jalan buntu apabila gagal membuka pintu kebal bernilai RM7,000 di premis terbabit.

Dalam kejadian jam 10.20 malam kelmarin, suspek yang berusia awal 20-an, terpaksa beredar meninggalkan pelbagai peralatan seperti kuku kambing, pemutar skru, pahat dan penukul yang digunakan untuk memotong dan mengumpil pintu berkenaan.

Lebih malang apabila pelbagai gelagat mereka berusaha gigih membuka pintu jeriji besi terbabit dirakamkan dua kamera litar tertutup (CCTV) di luar premis itu.

Difahamkan penjenayah terbabit dipercayai berniat untuk membakar syarikat itu di Jalan Lawa Off Jalan Kuching di sini, selepas suspek turut dikesan membawa tong minyak petrol.

Pengarah dan penerbit syarikat berkenaan, S Baldev Singh, 45, yang ditemui wartawan Harian Metro semalam berkata, kejadian itu hanya disedari pekerjanya yang datang untuk memulakan tugas awal pagi semalam.

Beliau yang baru menerbitkan filem Akhirat pada Mac lalu, mendakwa pintu jeriji besi di tingkat bawah bangunan syarikatnya itu didapati terkopak selain serpihan kaca lampu bertaburan.

“Sebaik tiba di pejabat semalam, pekerja saya terkejut apabila mendapati pintu masuk pertama jeriji besi dan pintu kayu terbuka dengan keadaan rosak dicungkil.

“Bagaimanapun, saya lega selepas melihat pintu ketiga (pintu kebal) hanya mengalami sedikit kerosakan...jika tidak segala peralatan perfileman termasuk alatan penyunting, set studio dan kamera yang bernilai lebih RM10 juta mungkin dikebas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, dia dan pekerja kemudian meneliti rakaman CCTV sebelum mendapati tiga penjenayah lelaki cuba memecah pintu masuk.

“Berdasarkan rakaman, dua suspek lelaki dengan seorang daripadanya memakai kemeja-T belang, seluar hitam dan topi dilihat berlegar-legar di hadapan pintu jeriji besi itu.

“Mereka mendekati pintu itu sambil cuba membuka mangga kunci menggunakan alat khas,” katanya.

Menurutnya, penjenayah turut menggunakan alat pemotong besi dan pemutar skru, namun gagal.

“Pada masa sama seorang suspek menggunakan tong minyak yang sengaja dibaling ke arah lampu bertujuan untuk memecahkannya.

“Tindakan itu dipercayai bertujuan bagi mengelakkan perbuatan mereka dilihat orang awam sebelum suspek menyambung semula tugas memecah pintu berkenaan,” katanya.

Menurutnya, penjenayah bagaimanapun terpaksa menggunakan pelbagai peralatan berikutan pintu itu sukar dipecah masuk.

“Mereka didapati berulang kali mengumpil dan cuba memotong pintu itu, namun gagal. Bagaimanapun, mereka tidak berputus asa dan terus berusaha lebih satu jam.

“Sebaik berjaya membuka pintu jeriji itu, suspek kemudian memecah pula pintu kayu di belakangnya sebelum melihat satu lagi pintu besi di belakangnya,” katanya.

Menurutnya, suspek kali ini berhadapan dengan pintu besi seberat lebih 200 kilogram dan setebal lebih 12 sentimeter yang lebih sukar ditembusi.

“Rakaman dua dari 15 CCTV yang diletakkan di beberapa tempat strategik menunjukkan penjenayah itu kepenatan, kebingungan dan terpaksa pergi dengan wajah kecewa.

“Kebodohan tiga suspek terbabit lebih terserlah apabila meninggalkan segala peralatan mereka di hadapan pintu kebal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan polis daripada Unit Forensik sudah mengambil keterangannya dan cap jari suspek.

Dia mendakwa kejadian itu ada kaitan dengan persaingan perniagaan dan mengesyaki pesaingnya terbabit mengupah tiga penjenayah itu.

“Saya kesal kerana kejadian demi kejadian jenayah berlaku sejak tiga tahun lalu. Antara peristiwa paling hebat ialah seorang pekerja saya terpaksa berhenti kerja kerana ketakutan apabila diculik pada 18 Ogos 2005.

“Dia (pekerja Baldev) bukan saja diculik, malah menghadapi pelbagai seksaan termasuk dikelar dan dipijak hingga pengsan sebelum ditemui di Taman Putri Jaya, Cheras,” katanya.

Baldev berkata, jika dicampurkan dengan kejadian cubaan memecah masuk premisnya kelmarin, sudah 18 kali laporan polis dibuat kerana pelbagai jenayah lain terpaksa dihadapinya yang didakwanya mempunyai kaitan dengan pesaing perniagaannya.

Sri Saheb Production Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu turut terbabit dengan beberapa penerbitan termasuk telemovie VCD berjudul Father dan rancangan Irama Bollywood yang suatu waktu dulu disiarkan menerusi Saluran Emas, TV2.

Harian Metro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...