VIENNA – Buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun, Sepanyol berjaya melangkah ke perlawanan akhir Kejuaraan Eropah (Euro).
Semalam skuad kendalian Luis Aragones itu mara ke pentas akhir Euro 2008 selepas menewaskan Rusia 3-0, sekali gus menempah pertemuan dengan Jerman pada aksi akhir awal pagi Isnin ini.
Tiga jaringan yang dicipta pada babak kedua menerusi Xavi Hernandez, Daniel Guiza dan David Silva, sudah cukup membuktikan penguasaan Sepanyol dalam perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat itu.
“Rentak kami pada babak pertama agak sukar tetapi pada aksi babak kedua, kami amat luar biasa.
“Permainan kami lebih baik apabila beraksi dengan seorang penyerang. Kami dapat menambah seorang lagi pemain di bahagian tengah dan lebih mudah membuat asakan. Sebab itulah Xavi dapat menjaringkan gol,” kata Aragones.
Selepas jaringan Xavi, pemain Arsenal, Cesc Fabregas kemudian membuka dua lagi gol Sepanyol menerusi Guiza dan Silva, sekali gus mencerahkan peluang mereka memburu trofi kedua kempen Eropah ini.
Begitupun, Sepanyol terpaksa membayar harga yang mahal di atas kejayaan semalam apabila penyerang utamanya, David Villa mengalami kecederaan otot sehingga memaksa dia terlepas aksi akhir nanti.
Namun, Aragones masih memiliki Fabregas, perancang Arsenal yang mampu menjalankan tanggungjawab pada perlawanan akhir.
“Saya tahu betapa baiknya dia (Fabregas) apabila beraksi,” kata Aragones
“Saya gemar kepada pemain seperti Cesc, dia berusia 20 tahun tetapi memiliki pengalaman seperti pemain berusia 27-28 tahun. Bagi kami dia adalah aset utama.”
Sepanyol yang menjuarai kempen Euro 1964, berjaya menamatkan badi kegagalan mereka di suku akhir dengan menewaskan Itali menerusi penentuan penalti minggu lepas.
“Pasukan ini sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental sejak sekian lama,” kata Aragones.
“Amat penting untuk bukan saja mempamerkan aksi yang bagus, kamu juga perlu tahu bagaimana hendak menanganinya. Itulah apa yang kami mahu, berada di pentas akhir.” – AP
Kosmo Online
No comments:
Post a Comment