Saturday, July 19, 2008

Anggota polis didakwa rogol, seks oral

PETALING JAYA 18 Julai - Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan, merogol dan memaksa seorang pelajar melakukan seks oral ke atasnya di Balai Polis Putra Heights.

Konstabel Jamil Abdul Sah , 27, didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 17 tahun antara pukul 6 hingga 7 pagi, 18 Jun lalu di dalam bilik maklumat balai tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan seks oral pula, Jamil didakwa mengikut Seksyen 377B kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Penolong Pendakwa Raya, Nor Shamsinar Mohamad membantah jaminan terhadap tertuduh. Namun sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi beserta dua orang penjamin dan syarat tambahan.

Peguam Ariff Azami Hussein yang merayu agar tertuduh dibenarkan ikat jamin, mengemukakan surat makluman dan pengesahan gantung kerja bertarikh 23 Jun lalu yang menunjukkan tertuduh kini tidak mempunyai kuasa menjalankan tugas.

Malahan sejak tarikh tersebut, menurut Ariff Azami, tertuduh juga perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya setiap Isnin dan Khamis.

"Tertuduh yang berkhidmat sejak 1 Jun 2001 mempunyai dua anak berusia lima dan dua tahun sementara isterinya tidak bekerja. Tertuduh tinggal di Damansara sementara mangsa difahamkan tinggal di Kilometer 21, Puchong," kata beliau.

Gobind Singh Deo turut memohon kebenaran untuk bercakap dalam kapasitinya selaku peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.

"Ketika kejadian, menurut mangsa, tertuduh memberitahunya supaya jangan takut kerana ramai lagi perempuan sepertinya. Sejak kejadian, mangsa mendakwa tertuduh sering menghubunginya dan mengajaknya balik ke rumahnya di Damansara," kata Gobind.

Memandangkan seluruh ahli keluarga mangsa dalam ketakutan disebabkan kes itu melibatkan pihak polis, Gobind memohon jaminan tidak diberikan kerana tertuduh sanggup melakukan perbuatan yang begitu keji.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Balqis Aini Mohd. Ali membenarkan Jamil dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memberi amaran bahawa tertuduh secara peribadi mahupun melalui ejennya sama ada kawan atau keluarganya tidak boleh mendekati dan menghubungi mangsa serta keluarga mangsa melalui telefon.

Jamil yang berasal dari Sabah akan dibicarakan pada 22 Oktober ini.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Gobind memberitahu beliau akan memfailkan saman terhadap tertuduh dan kerajaan Malaysia dalam masa terdekat.

Menurut Gobind, kes tersebut melibatkan isu kepentingan awam dan persoalan yang timbul adakah balai polis di negara ini, selamat?

"Dalam keadaan pelajar terbabit pergi ke balai polis untuk membuat laporan tiba-tiba dia pula yang kena. Dalam kes ini, mangsa dirogol dan tertuduh memaksa mangsa membuat seks oral," kata Gobind.

Difahamkan, mangsa dan rakannya telah ditahan ketika mereka menaiki sebuah motosikal dan dibawa ke balai polis untuk soal siasat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...