Saturday, July 19, 2008

Chelsea datang tanpa Drogba

Petikan: Utusan Online


KUALA LUMPUR - Kelab Liga Perdana England, Chelsea mengotakan janjinya apabila bakal membawa semua pemain utamanya dalam Siri Jelajah Asia-Malaysia 2008 apabila singgah di Kuala Lumpur selama tiga hari mulai 27 Julai ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Cuma yang tercicir dalam senarai yang dikeluarkan oleh penganjur ialah penyerang berbisa kelab itu, Didier Drogba.

Ketua Pegawai Eksekutif Proevents International Sdn. Bhd, iaitu promoter jelajah kelab itu, Julian Kam berkata, para pemain Chelsea termasuk jurulatih baru Felipe Scolari akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Macau pada 27 Julai ini.

Katanya, antara pemain utama kelab itu yang mengesahkan kehadiran termasuk Nicolas Anelka, Michael Ballack, Petr Cech, bekas pemain Barcelona, Deco, Frank Lampard, Andriy Shevchenko dan John Terry.

Mengenai ketiadaan Drogba dalam senarai pemain yang akan datang ke Malaysia, Julian Kam menjelaskan, senarai yang diterima oleh pihaknya ialah senarai pemain yang akan menaiki penerbangan dari Macau pada 27 Julai ini.

''Senarai yang kami terima ini adalah berdasarkan senarai pemain yang akan menaiki penerbangan dari Macau selepas perlawanan persahabatan dengan skuad negara tersebut,'' katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad dan ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan.

Naib juara Liga England musim lalu, Chelsea akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Pilihan Malaysia di Shah Alam pada 29 Julai pada pukul 8.45 malam.

Menurut Julian Kam, sebelum datang ke Malaysia, para pemain Chelsea akan mengadakan perlawanan persahabatan di Guangzhou, China (23 Julai) diikuti di Macau (26 Julai) sebelum berada di Malaysia pada keesokannya.

''Sepanjang berada di sini, pemain kelab itu akan mengadakan sesi latihan dan aktiviti bersama penaja sebelum mengadakan perlawanan dengan skuad Pilihan Malaysia.

''Para peminat di sini bertuah kerana bakal menyaksikan skuad baru musim depan Chelsea yang datang bersama pemain baru,'' katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...