Saturday, July 19, 2008

Siapakah Rakan Bertanding Ong Tee Keat

19 Julai, 2008 21:40 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Tidak sampai tiga jam selepas tiba dari London menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang malam tadi, Naib Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan tertinggi parti pada pemilihan Oktober ini.

Seperti yang telah dijangkakan oleh kebanyakan pemerhati politik dan anggota parti, "Lone Ranger MCA" ini berkemungkinan akan bertanding jawatan tertinggi parti selepas presiden parti Datuk Seri Ong Ka Ting mengumumkan keputusannya bulan lepas untuk tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini.

Namun yang mengejutkan ramai pihak, ialah masa pengumuman yang dibuat oleh Tee Keat.

Beliau dijangkakan mengumumkan keputusannya itu selepas pemilihan bahagian hujung minggu ini, tetapi sebaliknya beliau mengumumkannya selepas menghadiri satu majlis di Serdang malam tadi.

"Selepas majlis tersebut berakhir, Tee Keat memberitahu saya beliau akan mengadakan sidang akhbar. Saya kemudiannya menyediakan sebuah bilik untuk sidang akhbar tersebut. Kemudian beliau memberitahu saya, beliau mahu membuat pengumuman untuk bertanding jawatan presiden parti.

"Saya terkejut dan memberitahunya bahawa sekiranya beliau mengumumkannya di sini malam ini, hanya terdapat empat orang wartawan dari akhbar berbahasa Cina, kesemuanya pula adalah pemberita junior," kata bekas naib presiden MCA, Datuk Yap Pian Hon.

Namun Tee Keat berkata ia tiada menjadi masalah dan hampir tengah malam, kebanyakan media termasuk dari stesen televisyen dan radio telah menghantar berita segera mereka mengenai cerita tersebut, kata Yap.

Seorang pemimpin veteran MCA, Datuk Wong Mook Leong berkata keputusan Tee Keat untuk mengumumkan lebih awal untuk bertanding adalah ekoran gesaan dari akar umbi untuk beliau membuat pendirian.

"Akar umbi telah meminta beliau membuat pendirian. Mereka berkata beliau tidak membuat sebarang pendirian selepas Ka Ting membuat pengumuman. Itulah yang membuatkan beliau membuat pengumuman sekembalinya dari London.

"Tambahan pula wujud khabar angin bahawa beliau tidak akan bertanding," katanya.

Kini timbul pula persoalan siapa rakan Tee Keat untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden nanti.

Mengenai perkara ini, Wong berkata beliau telah memberitahu Tee Keat betapa perlunya beliau membentuk pasukan untuk berkempen dan mendapat sokongan daripada golongan akar umbi kerana beliau tidak boleh hanya "duduk dan bergerak secara perseorangan".

Tee Keat memang dikenali gemar bergerak seorang diri kerana tidak mahu dilihat mempunyai pakatan dengan mana-mana pemimpin.

"Namun kali ini saya memberitahunya beliau tidak boleh mendiamkan diri. (Barrack) Obama (calon presiden Amerika Syarikat) juga tidak berbuat demikian. Tee Keat perlu membentuk pakatan untuk bertanding jawatan tertinggi parti kali ini," kata Wong.

Bagaimanapun Tee Keat yang ditanya hari ini, enggan menyatakan siapa rakannya untuk bertanding, tetapi sekadar berkata beliau akan mengeluarkan manifestonya tidak lama lagi.

Beliau berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan sesiapa tetapi menafikan langkah itu sebagai berpakat dengan orang yang dibincangkannya itu.

Namun wujud spekulasi bahawa setiausaha agung parti Datuk Ong Ka Chuan, adik kepada Ka Ting akan menjadi rakan bertanding di samping Tee Keat.

Ka Chuan yang ditanya hari ini bagaimanapun enggan mengulas sama ada beliau akan bertanding jawatan nombor dua parti.

"Saya belum lagi mendapat inspirasi," katanya ringkas.

Juga timbul spekulasi bahawa ketua pemuda dan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai akan menjadi rakan Tee Keat, namun setakat ini beliau tidak membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Malah sumber dalaman parti berkata naib presiden Datuk Donald Lim Siang Chai dan ketua wanita Datuk Dr Ng Yen Yen juga berpotensi menjadi calon bagi jawatan nombor dua itu.

Namun seperti Liow, kedua-duanya belum menyatakan sebarang pendirian.

Apapun perkembangannya, seorang pemimpin kanan parti yakin Tee Keat akan mengumumkan rakan bertandingnya selepas selesai pemilihan bahagian parti nanti.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...