Saturday, July 19, 2008

Dr Sheikh Muszaphar Terima Gelaran Datuk

19 Julai, 2008 00:37 AM

KUALA PILAH, 19 Julai (Bernama) -- Angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dianugerahkan gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-86 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Sabtu.

Doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu menerima Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS).

Beliau adalah antara 90 penerima peringkat pertama yang menerima darjah kebesaran daripada Tuanku Ja'afar dalam satu istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 36, yang berasal dari Seremban, berlepas ke angkasa pada 10 Okt tahun dengan menaiki roket Rusia, Soyuz TMA-11 untuk ke stesen Angkasa Antarabangsa. Beliau selamat kembali ke bumi pada 21 Okt.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor, 53, mendahului senarai penerima darjah kebesaran dan pingat tersebut.

Beliau yang berasal dari Kuala Pilah juga dianugerahkan DSNS.

Enam belas yang lain yang turut menerima anugerah sama ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Ismail Taib, ADUN Juasseh, Mohammad Razi Kail, ADUN Sungai Lui Zainal Abidin Ahmad, ADUN Puteri Wangsa (Johor) Abdul Halim Suleiman, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Harta Sabah Sdn Bhd Abdul Rahman Abdul Ghani, Ketua Pegawai Semboyan Angkatan Tentera Malaysia Brig Jen Noordin Mohd Yusoff.

Yang lain ialah Naib Presiden Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Malaysia Datin Maimunah Abdul Wahab, Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Tenaga, Air dan Telekomunikasi Dr Mohd Padzil Hashim, pakar perunding pergigian Dr Philip Ting Chong Sing, Pengarah Urusan Kumpulan Brunsfield Corp Sdn Bhd Gan Thian Leong.

Ketua Pelaburan Strategik dan Perhubungan Korporat Genting Bhd Justin Leong Ming Loong, Bendahari MIC Negeri Sembilan S. Krishnan, ahli perniagaan Mohammad Caezar Musa, Timbalan Ketua Umno Bahagian Rasah Mohammed Najeeb Abdullah, Pengarah Urusan Pembrokeran Saham Affin Investment Bank Saiful Bahri Zainuddin dan Pengerusi Atlan Holdings Bhd Datuk Seri Adam Sani Abdullah.

Dua yang menerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Tuanku Jaafar (DPTJ) (Kehormat) yang membawa gelaran Datuk ialah Timbalan Presiden Appco Group (M) Sdn Bhd, James Iskandar Jaafar Greaves dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby China Region Lu Desheng Louis.

Seramai 20 orang pula menerima DPTJ yang membawa gelaran Datuk terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan Ishak Sahari, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Zaffarudin Sharif, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Md Basar Abdul Rahman, Pengarah Pembangunan Negeri Mat Ali Hassan.

Ketua Pengarah Jabatan Perancang Dasar dan Strategi Kementerian Luar Negeri Dr Fauziah Mohd Taib, Pegawai Perubatan Pakar Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar Dr Wan Shariah Md Yusuf, Pengerusi Eksekutif Strong Roots Holding Gan Kim Chong, Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia Rokiah Omar, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian MCA Negeri Sembilan Ho Yok Kee.

Turut menerima anugerah sama ialah Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Legend Group of Companies K.K. Durai, ahli perniagaan Kamarulnizam Mohd Sharip, peguam Thomas Koh Boon Thye, bekas pemain badminton kebangsaan Ng Boon Bee, anggota Persatuan Sathya Sai Baba M.P.N. Parameswaran.

Timbalan Ketua Polis Negeri SAC II Abd Manan Mohd Hassan, anggota Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Muhamad @ Mahmad Salleh Yasin, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Zainal Abidin Mokhtar, Pengarah Urusan Usaha Damai Gas Sdn Bhd Radin Firdaus Radin Lockman, Pengarah Urusan SP & G Insurance Brokers Zakaria Meranun dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor SAC II Ramli Hassan.

Seramai 20 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS).

Mereka termasuk Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Mohd Saleh Jabbar, Pegawai Daerah Jempol Allahyarham Arifin Abd Latif, Pegawai Daerah Kuala Pilah Asis Ujang, Pegawai Daerah Port Dickson Johani Hassan dan Pegawai Daerah Seremban Mohd Bahrudin Mahfuz.

Seramai 19 orang menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan antara mereka ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Mizan Maulud, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri Supt Junaidi Bujang, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt V.R. Ravi Chandran dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Unit Dewan dan Protokol) Zaidi Johari.

Seramai 11 orang dilantik Jaksa Pendamai (JP).

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...