Saturday, July 19, 2008

Umno Cawangan Kampung Ubai calon Najib tanding Presiden

PEKAN: Umno Cawangan Kampung Ubai, Bahagian Pekan meluluskan usul tergemapr mencadangkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember depan.

Usul sebulat suara itu diumumkan ketua cawangan itu, Mohammad Hanapi Salleh pada mesyuarat yang berakhir lewat malam tadi dan dihadiri 42 daripada 123 anggota cawangan berkenaan.

Umno cawangan Kampung Ubai adalah cawangan pertama yang bermesyuarat di Pahang dan mencadangkan Najib, yang juga Ketua Bahagian Umno dan Ahli Parlimen Pekan, untuk bertanding jawatan Presiden.

Terdapat 139 cawangan Umno di bahagian Pekan dan bahagian itu adalah bahagian yang paling ramai keanggotaannya di Pahang itu 32,087 ahli.

Mohammad Hanapi ketika dihubungi berkata, semua anggota yang hadir termasuk wakil daripada sayap Pemuda, Wanita dan Puteri sebulat bersuara mengambil keputusan itu.

Sambil menyatakan pihaknya mengambil pendekatan mengemukakan usul tergempar itu berdasarkan beberapa faktor, beliau berkata:

“Antaranya, tempoh peralihan kuasa yang dipersetujui antara Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya iaitu dua tahun adalah terlalu panjang.”

Selain itu, kata beliau pihaknya juga mengambil kira faktor kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Abdullah di lima negeri dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

“Faktor lain ialah kegagalan pimpinan sedia ada untuk menyelesaikan isu harga minyak dan makanan yang semakin membimbangkan,” katanya.

Mesyuarat cawangan, yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis Khairuddin Mahmud, bagaimanapun tidak menamakan calon untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Disember itu nanti. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...