Monday, July 21, 2008

Anwar Sambung Beri Keterangan Di BPR

21 Julai, 2008 17:36 PM

PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir buat kali kedua di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah di sini hari ini bagi menyambung keterangannya mengenai laporan beliau kepada polis mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau tiba pada pukul 9.50 pagi diiringi oleh peguam, R. Sivarasa.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Anwar melahirkan rasa puas hati kerana berpeluang untuk memberi keterangan dan dokumen mengenai dakwaan beliau kononnya Abdul Gani dan Musa, antaranya, memalsukan keterangan dalam satu kes melibatkan beliau 10 thun lepas.

Anwar berkata BPR telah membuat liputan dan laporan yang profesional berhubung kes itu.

Ketika diminta mengulas mengenai muzakarah antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin tertinggi PAS, Anwar berkata adalah jelas bahawa kemunculan beliau dianggap sebagai satu ancaman politik.

"Jelas bahawa saya dilihat sebagai ancaman politik, kerana Pakatan Rakyat mempunyai perancangan dan kami akan teruskan (perancangan), dan saya percaya kami boleh melakukannya. Pengumuman akan dibuat sedikit masa lagi," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...