21 Julai, 2008 12:57 PM
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Seorang jurujual kedai emas Tomei mati ditembak dalam satu kes rompakan Ahad malam di pusat membeli-belah Carrefour Wangsa Maju di sini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Ku Chin Wah, wanita berusia 26 tahun itu ditembak di bahagian belakang pinggang oleh seorang lelaki apabila cuba melarikan diri ke dalam bilik setor ketika kejadian itu berlaku pada kira-kira 8.30 malam.
Mangsa meninggal dunia semasa dimasukkan ke Hospital Gleneagles di sini.
"Ketika kejadian tiada pelanggan di kedai emas tersebut dan hanya lima orang pekerja dan seorang pengawal keselamatan yang bertugas, namun disebabkan oleh rasa panik, pengawal tersebut tidak mampu membuat apa-apa semasa kejadian itu.
"Ada lima orang suspek dalam rompakan tersebut empat daripadanya yang melakukan rompakan manakala seorang lagi menunggu di dalam kenderaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Ku berkata suspek berjaya melarikan diri bersama barang kemas yang dianggarkan bernilai RM500,000 dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam sebelum membakar keretanya di Seksyen 6 Jalan 8 Wangsa Maju beberapa minit selepas kejadian.
Polis tidak menolak kemungkinan kereta itu ialah kereta curi, kata beliau.
Katanya siasatan masih dijalankan dan identiti pemilik kereta belum disahkan. Polis akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai tersebut.
Sementara itu, seorang pembantu jualan di kedai bersebelahan yang hanya ingin dikenali sebagai Azian, 32, berkata beliau mendengar bunyi tembakan yang kuat dan cermin pecah sebelum ternampak tiga lelaki memakai topeng melarikan diri ke arah eskalator.
Salah seorang daripanya berbadan tinggi dan memakai baju berwarna hijau, katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment