Monday, July 21, 2008

Kabinet Bincang Kewajaran Pembelian Mercedes Oleh Kerajaan Terengganu

21 Julai, 2008 16:20 PM

LUMUT, 21 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kabinet akan membincangkan kewajaran pembelian 14 kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi baru anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu.

"Dasar kita selama ini semua kementerian kerajaan pusat dan kerajaan negeri dikehendaki menggunakan kereta nasional," katanya ketika diminta mengulas pembelian kenderaan itu oleh kerajaan negeri Terengganu bagi menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 Executive bertujuan menjimatkan perbelanjaan tahunan.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MIPM) di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Beliau berkata dasar yang diamalkan sebelum ini mengkehendaki kementerian dan kerajaan negeri menggunakan kereta nasional.

"Saya guna kereta nasional dan Perdana Menteri pun gunakan kereta nasional," katanya.

Semalam, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata pembelian kenderaan itu tidak menggunakan wang royalti minyak dan ia sudah lama dirancang bagi menggantikan kenderaan rasmi yang telah berusia empat tahun.

Ahmad berkata kerajaan negeri terpaksa membuat pembelian tersebut ekoran kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi kerana mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata syarikat-syarikat industri pertahanan negara digalakkan bergabung bagi menjadikan mereka lebih kukuh dalam industri berkenaan.

Katanya, gabungan dan kerjasama telah menyaksikan pengeluaran pesawat kawalan jauh (UAV) taktikal buatan Malaysia apabila Composites Technology Research Malaysia (CTRM), System Consultancy Services (SCS) dan Ikramatik System melalui Konsortium UST Sdn Bhd (UST) berjaya menghasilkannya.

Beliau berkata UAV buatan Malaysia itu akan digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lama lagi dan pesawat itu juga akan dieksport ke negara serantau dan pasaran antarabangsa.

Mengenai MIPM, Najib berkata ia adalah mekanisme bagi mengajak bersama syarikat swasta yang terlibat dengan industri pertahanan untuk membincangkan langkah dan kaedah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan industri pertahanan negara mampan dan berdaya maju.

MIPM dianggotai oleh 130 buah syarikat.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...