Monday, July 21, 2008

Saiful bukan gay, bapa Saiful mahu Anwar jalani ujian DNA

mStar Online
21-07-2008 07:49:28 PM

oleh NURUL AIN HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan bukan gay demikian komen peguamnya, Zamri Idrus ketika ditanya adakah Saiful seorang pengamal homoseks atau gay?

Zamri menegaskan anak guamnya itu bukan seorang gay.

Sementara itu, ayah Saiful, Azlan Mohd Lazim mahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberi sampel DNA bagi melengkapkan siasatan polis.

Beliau berkata, Anwar sudah terlalu banyak memberi alasan dan berdolak-dalik berhubung siasatan dalam kes terbabit.

"Demi membela Mohd Saiful yang menjadi mangsa bekas majikannya, saya dan keluarga menuntut dengan setegasnya kepada individu terbabit (Anwar), supaya memberika kerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan polis," katanya.

Dalam kenyataan media yang diedarkan kepada pemberita Azlan mahu, suspek (Anwar) tampil ke hadapan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan terutama berhubung ujian DNA.

Menurutnya, Saiful mengambil sikap berani kerana benar dan beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Perkara tersebut terkandung dalam kenyataan lima perenggan Azlan yang dibacakan oleh peguam Saiful, Zamri Idrus dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Azlan turut mempertahankan laporan polis yang Saiful diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 26 Jun lalu.

Beliau (Azlan) turut melahirkan rasa sedih anaknya, Mohd Saiful dilakukan sedemikian (diliwat) oleh Anwar.

"Saiful berkali-kali menyebut kepada saya dan keluarga kami bahawa bertindak begini kerana kebenaran dan kepada Allah SWT supaya menunjukkan kebenaran itu."

"Yang penting saya dan keluarga memohon kepada pihak berwajib membawa individu yang terlibat ke muka pengadilan secepat mungkin," katanya.

Dalam kenyataan media yang ditandatangani oleh Azlan itu turut menyatakan kesediaan anaknya (Saiful) untuk bersumpah menurut cara Islam yang sebenar-benarnya.

"Saiful bersedia bersumpah di masjid dengan disaksikan para ulama demi membuktikkan kebenaran bahawa beliau diliwat seperti yang dilaporkannya kepada polis," katanya.

Ketika ditanya bila tarikh Saiful akan bersumpah (mubahalah) di dalam masjid seperti yang dinyatakan, peguam Saiful itu berkata semuanya bergantung siasatan kepada polis.

"Kita tidak dapat memberikan tarikhnya sekarang, semuanya bergantung kepada siasatan polis," kata Zamri yang dilantik mewakili Saiful jika kes tersebut di bawa ke mahkamah.

Menurut Zamri, ayah Saiful tidak dapat hadir dalam sidang media itu kerana beliau mempunyai hal lain.

Ketika ditanya adakah sidang media yang diadakan ini timbul kerana tidak puas hati terhadap siasatan polis terhadap kes tersebut, Zamri berkata:

"Bapa Saiful sangat berpuashati terhadap siasatan polis, cuma beliau tidak berpuashati terhadap suspek (Anwar) yang sering menyangkal dan dolak-dalik dalam memberikan kerjasama dalam kes ini," kata Zamri.

Zamri menjelaskan, bahawa beliau telah melihat laporan polis yang telah dibuat oleh Saiful pada 26 Jun lalu.

"Ya, saya telah melihat laporan polis yang di buat oleh Saiful," kata Zamri yang enggan mendedahkan kandungan laporan polis yang di lihatnya itu.

Ditanya sama ada beliau yakin terhadap laporan polis yang dibuat oleh Saiful.

"Saya yakin kerana beliau adalah anak guam saya. Jangan tanya saya lebih dari itu kerana ia hanya menggangu penyiasatan polis," katanya.

Ditanya mengenai bila kali terakhir menemui Saiful, Zamri berkata:

"Saya menemuinya beberapa hari yang lalu. Beliau (Saiful) sihat," kata Zamri dan beliau enggan mengulas lanjut.

Ditanya sama ada Saiful dibayar sejumlah wang oleh pihak tertentu bagi mengaku diliwat Anwar, Zamri menegaskan perkara tersebut adalah tidak benar dan tidak pernah dinyatakan kepadanya.

Mengenai gambar Saiful bersama beberapa menteri dan pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Khairil Anas, Zamri berkata:

"Gambar sesiapa sahaja boleh ambil, ia boleh diambil sebagai memori kerana Saiful memegang peranan sebagai ketua pelajar semasa beliau menuntut di Uniten."

Beliau turut menyatakan Saiful berada dalam keadaan selamat dan polis memberi perlindungan kepada beliau.

Dalam pada itu, bapa saudara Saiful yang dikenali sebagai, Uncle Pat turut hadir dalam sidang akhbar tersebut.

Beliau melahirkan keyakinan terhadap laporan polis yang dibuat anak saudaranya Jun lalu.

"Saya kenal anak saudara saya (Saiful). Saya yakin kepadanya dan tahu dia tidak berbohong," kata Pat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...