Tuesday, July 22, 2008

Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota Mahu Peralihan Kuasa Abdullah-Najib Dipercepatkan Ke Disember

22 Julai, 2008 16:30 PM

KUANTAN, 22 Julai (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota Datuk Faisal Abdullah berkata peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dipercepatkan selewat-lewatnya Disember ini.

Beliau berkata tempoh dua tahun seperti yang diumumkan baru-baru ini itu dilihat terlalu lama.

"Kita menyokong peralihan kuasa itu, namun tempoh dua tahun itu terlalu jauh dan kita bimbang ianya tidak memberi ruang yang cukup kepada Datuk Seri Najib untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Bernama di sini hari Selasa.

Faisal berkata sekalipun Umno bahagian itu menyokong sepenuhnya kepimpinan Abdullah dan tetap akan mencalonkan beliau sebagai Presiden Umno dan Najib sebagai timbalan untuk pemilihan parti itu, namun peralihan kuasa itu sebaiknya dilakukan selepas pemilihan itu berlangsung Disember ini.

"Sekalipun ini pendapat peribadi saya, namun inilah yang kita dapat maklumat balas dari peringkat akar umbi yang mahu Umno kembali kukuh sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan negara," katanya.

Mengenai mesyuarat cawangan di bahagian itu, Faisal berkata tujuh daripada 59 cawangan di bahagian itu telahpun mengadakan mesyuarat perwakilannya baru-baru ini.

Katanya beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua bahagian itu pada pemilihan November ini.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...