Tuesday, July 22, 2008

Shahrir Tidak Akan Tanding Jawatan Naib Presiden

22 Julai, 2008 00:56 AM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Johor Baharu Datuk Shahrir Abdul Samad berkata beliau tidak akan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden dalam pemilihan Umno pada Disember ini.

"Untuk bertanding ke jawatan itu, saya tidaklah akan sampai ke situ," katanya dalam program bual bicara Helo Malaysia Bernama TV yang disiarkan secara langsung di saluran 502 Astro Isnin malam.

Beberapa pemimpin UMNO telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Mereka termasuk Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Shafie Apdal serta penyandang Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Sementara itu, mengenai Hari Pengguna Malaysia 2008, beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata program selama dua hari bermula 26 hingga 27 Julai ini adalah bertemakan Kesederhanaan Menjamin Kesejahteraan "Amalkan Pengguna Lestari".

Katanya, pengguna lestari bermula sebagai seorang pengguna, individu atau keluarga menggunakan sumber yang terhad dalam berbelanja.

"Pengguna tidak akan boros atau membazir kerana sumber mereka terhad tetapi berdasarkan kaedah penggunaan yang optima," katanya.

Katanya, pengguna tidak seharusnya mudah terpedaya dengan imej yang disampaikan melalui iklan tetapi perlu menilai kualiti produk.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...