Tuesday, July 22, 2008

Liow Tidak Akan Tanding Jawatan Presiden MCA

22 Julai, 2008 16:47 PM

SUBANG, 22 Julai (Bernama) -- Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai, yang pada hujung minggu lepas mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya itu, juga tidak akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti Oktober ini.

"Pada masa ini saya sedang mendapatkan maklum balas daripada akar umbi, Saya masih belum membuat keputusan bertanding jawatan mana tetapi yang pasti saya tidak akan bertanding jawatan presiden parti kerana sudah ada orang yang mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu itu," kata Liow hari Selasa.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah vendor cemerlang Pharmaniaga Bhd, Menteri Kesihatan itu berkata beliau memerlukan masa untuk membuat penilaian jawatan yang mana yang akan ditandingi dalam pemilihan parti.

Ahad lepas, beliau mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan sebaliknya akan bertanding jawatan lebih tinggi tetapi masih belum membuat keputusan.

"MCA mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lepas dan kini merupakan masa yang penting bagi kami semua untuk memperkukuhkan parti dan menjadikannya lebih efektif. Saya menawarkan diri untuk berkhidmat dalam badan induk daripada pergerakan Pemuda. Kami mempunyai pemimpin yang berkebolehan untuk mengemudikan pergerakan Pemuda.

"Saya tidak mensasarkan sebarang jawatan tertentu...saya perlu dengar pandangan akar umbi. Saya hanya menawarkan diri. Parti sedang menjalani pembaharuan dan sekarang merupakan masa yang penting untuk kami mendapatkan semula keyakinan masyarakat Cina Malaysia," katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dan Timbalan Presiden Datuk Seri Chan Kong Choy telah mengumumkan mereka tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti tiga bulan lagi. Naib Presiden parti dan Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat pada Jumaat mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan tertinggi parti.

Liow berkata adalah penting bagi MCA, parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN), untuk mempunyai kepimpinan yang berwibawa untuk memajukan lagi parti dan memenangi semua keyakinan masyarakat Cina.

Katanya hakikat beberapa pemimpin MCA telah menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan peringkat pusat menunjukkan komitmen dan dedikasi pemimpin berkenaan untuk memperkukuhkan semula parti, yang mengalami kekalahan paling teruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Ditanya sama ada beliau beliau akan menjalin pakatan dengan mana-mana pemimpin pada pemilihan parti, Liow berkata: "Saya masih dalam proses mendapatkan pandangan, beri saya sedikit masa, saya akan pertimbangkan semua pandangan dan akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai."

Bagaimanapun, katanya semua pemimpin parti perlu mencari jalan untuk memperkukuhkan MCA daripada mewujudkan puak-puak yang boleh membawa kepada kemusnahan parti kaum Cina itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MCA "berfikiran terbuka" mengenai muzakarah antara Umno dan PAS kerana ia merupakan perbincangan antara pemimpin dua buah parti yang bertumpu pada perpaduan orang Melayu.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...