mStar Online
22-07-2008 07:01:38 PM
PETALING JAYA: Penulis blog Raja Petra Kamaruddin didakwa di Mahkamah Majistret di sini Khamis lalu atas tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam akuan bersumpahnya, hari ini berhadapan dengan saman fitnah terbaru.
Hari ini, sepasang suami isteri, kedua-dua pegawai tentera, menyaman penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin menuntut RM2 juta kerana mendakwa akuan berkanun yang dibuatnya dan mengaitkan mereka dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu berunsur fitnah.
Writ saman itu telah difailkan oleh Lt Kol Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Lt Kol Norhayati Hassan, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada pukul 2.30 petang melalui firma guaman Gan Rao & Chuah.
Pasangan itu mendakwa akuan berkanun yang melemparkan tuduhan-tuduhan terhadap mereka dan juga isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam kes pembunuhan itu telah dibuat dengan niat jahat dan secara tidak jujur bertujuan menjejaskan reputasi, kredibiliti, nama baik dan karier mereka.
Mereka mendakwa tuduhan-tuduhan itu dibuat dengan cara cuai dan tidak menghiraukan untuk memastikan sama ada tuduhan-tuduhan itu benar atau palsu, dan oleh demikian, telah merosakkan nama baik dan reputasi mereka.
Abdul Aziz dan Norhayati berkata, akuan berkanun Raja Petra yang mengandungi unsur fitnah juga telah merendahkan maruah dan memperkecilkan mereka dalam jawatan yang mereka pegang sebagai pegawai kanan tentera bertugas di Jabatan Arah Jurutera, Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan.
Pasangan itu menuntut ganti rugi RM1 juta setiap seorang daripada Raja Petra, ganti rugi teladan dan satu perintah injunksi untuk menghalang Raja Petra atau pekerjanya daripada mengulangi kenyataan fitnah itu.
Raja Petra, pengendali blog Malaysia Today, telah membuat akuan berkanun itu pada 18 Jun lepas mendakwa tujuannya itu adalah untuk meminta orang yang mempunyai pengetahuan berhubung perkara itu untuk tampil ke hadapan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan sewajarnya dalam kes itu.
Kandungan akuan berkanun itu telah disiarkan dalam laman blognya dan lamanlaman web lain.
Dua anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Kpl Sirul Azhar, 36, sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap tuduhan membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi di Bukit Raja antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, pula menghadai tuduhan bersubahat dengan mereka dalam melakukan pembunuhan itu.
Dalam pernyataan tuntutan, Abdul Aziz dan Norhayati mendakwa tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka dalam akuan berkanun itu memudaratkan secara peribadi dan mengundang tanggapan umum terhadap mereka yang memiliki rekod bersih.
Mereka juga mendakwa tuduhantuduhan dalam akuan berkanun itu bermaksud kedua-dua mereka bersama-sama Rosmah adalah pembunuh dan terlibat dalam konspirasi jenayah dan skandal jenayah.
Mereka berkata akibat tindakan Raja Petra yang membuat akuan bekanun itu, mereka terpaksa menghadapi kata-kata yang memalukan dan juga tekanan perasaan yang amat sangat setelah kandungan akuan itu diketahui keluarga, rakan sekerja, jiran dan saudara-mara sehingga mengundang kebencian dan penghinaan di mata masyarakat.
Pasangan itu berkata, mereka telah mengemukakan surat tuntutan terhadap Raja Petra tetapi sehingga hari ini, Raja Petra gagal, enggan dan cuai mematuhi surat tuntutan itu.
Pada 17 Julai lalu, Raja Petra didakwa atas dua lagi tuduhan memfitnah membabitkan Abdul Aziz dan Norhayati.
Ketiga-tiga tuduhan Khamis lalu itu didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi Sivil Lima, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada pukul 10.25 pagi pada 18 Jun lalu.
Bagi tuduhan pertama Raja Petra didakwa memfitnah Rosmah dengan membuat tohmahan di dalam akuan bersumpahnya yang diikrarkan pada 18 Jun 2008 dengan mengetahui bahawa tohmahan tersebut akan merosakkan nama baik Rosmah.
Ketiga-tiga tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment