Friday, August 1, 2008

Tarikh Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Ditentukan Rabu Depan

01 Ogos, 2008 16:35 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu depan antaranya untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor memberitahu Bernama bahaw SPR telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Anggota Parlimen kawasan itu hari ini daripada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Wan Azizah, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang, meletak jawatan sebagai wakil rakyat berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

Kamaruzaman berkata bahawa mesyuarat pada Rabu itu nanti akan turut menetapkan tarikh untuk mengeluarkan writ pilihan raya, tarikh mengeluarkan notis pilihan raya dan daftar pemilih mana yang akan diguna pakai pada pilihan raya kecil itu nanti.

Dalam pilihan raya 8 Mac lepas, Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 13,388.

Kerusi itu juga pernah diwakili oleh Anwar semasa beliau masih dalam Umno.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...