Friday, August 1, 2008

Lori rempuh tujuh kenderaan, dua maut

01-08-2008 05:05:58 PM

KUALA LUMPUR: Dua maut manakala enam lagi parah apabila sebuah lori yang membawa muatan batu merempuh tujuh kenderaan di Lebuhraya Cheras Kajang di sini hari ini.

Selain lori, kemalangan yang berlaku di hadapan pasar raya Giant Taman Connaught pada kira-kira pukul 9.30 pagi itu, melibatkan sebuah MPV, lima kereta dan sebuah motosikal.


REMUK ... Satu daripada tujuh buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Cheras-Kajang dekat Taman Counnought, hari ini.

Mereka yang terbunuh ialah anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras Kpl Mohd Noh Ali, 45, dan pemandu lori Kong Vin Hin, 47.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras Rashid Yahya berkata kemalangan itu dikatakan berlaku apabila sebuah lori muatan pasir yang menghala ke Kajang merempuh sebuah MPV ketika ingin menukar lorong.


Beginilah keadaan sebuah kereta dan sebuah van yang remuk setelah dirempuh sebuah lori bermuatan batu dalam kemalangan ngeri. Selain dua buah kenderaan itu, lima buah kenderaan termasuk sebuah motosikal turut terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan dua orang maut manakala enam lagi cedera parah. foto BERNAMA.

"Lori itu tidak dapat dikawal lalu melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan lima kereta dan sebuah motosikal di laluan bertentangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata Mohd Noh, yang menunggang motosikal dan Kong cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala enam mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan.

Rashid berkata anggota bomba dan penyelamat dari Balai Cheras dan Hang Tuah mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mayat keduadua mangsa yang tersepit.

Seorang mangsa yang terselamat, Kamarul Azian, 33, berkata kejadian yang mengakibatkan kereta Perodua Kancil miliknya remuk itu berlaku dengan pantas.

Saksi kemalangan, Naresh Kumar, 28, berkata beliau merasakan gegaran kuat ketika menunggang motosikal dan melihat sebuah lori batu merempuh kenderaan jenis MPV berwarna putih.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan teruk di lebuh raya berkenaan kerana batu yang dibawa oleh lori itu bertaburan di permukaan jalan.

Di SEREMBAN, seorang wanita, Lim Yit Sum, 18, maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta di KM 216, Lebuh Raya UtaraSeremban dekat sini pada kira-kira pukul 6.50 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata Lim yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian dan sehingga kini pemandu kereta terbabit belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu. BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

jadi lempeng dibuatnya... ari tu treler rempuh 15 kenderaan...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...