Friday, August 1, 2008

Harga Runcit Petrol Diselaras Berkuatkuasa 1 Sept, Kata Abdullah

01 Ogos, 2008 18:47 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Berkuatkuasa 1 Sept ini, harga runcit petrol akan diselaraskan berdasarkan harga pasaran purata bulanan dan subsidi akan dikekalkan pada kadar 30 sen seliter, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata harga runcit petrol akan ditetapkan pada 1 haribulan setiap bulan.

"Kerajaan juga menjamin bahawa harga runcit petrol tidak akan melebihi RM2.70 seliter pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Abdullah berkata kerajaan membuat keputusan itu setelah mengkaji secara teliti kebelakangan ini harga minyak mentah yang menunjukkan trend menurun.

Selasa lepas, harganya ialah US$122 setong berbanding harga purata bagi Jun US$132 setong, dan kerajaan menanggung subsidi petrol sebanyak 64 sen seliter.

Harga minyak mentah dunia adalah US$125 setong ketika kerajaan menstrukturkan semula subsidi minyak pada 5 Jun dengan subsidi petrol sebanyak 30 sen seliter.

Menjelang 8 Jun, harga minyak mentah meningkat secara mendadak kepada US$139 setong.

Abdullah berkata walaupun harga petrol sepatutnya dinaikkan sebanyak 40 sen seliter, kerajaan telah membuat ketetapan untuk mengekalkan harga petrol dan memberi jaminan pada 11 Jun bahawa harga petrol tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...