Friday, August 1, 2008

Persiapan diatur bolehkan Saiful bersumpah isu liwat

mStar Online
01-08-2008 07:15:23 PM

Oleh NURUL AIN HUSSEIN

KUALA LUMPUR: Berikutan selesainya siasatan polis, peguam kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedang membuat persiapan bagi membolehkan anak guamnya itu melakukan sumpah dalam waktu terdekat.

“Semuanya masih dalam perbincangan. Kita kena buat majlis akan sumpah ini secara teratur,” kata peguam Zamri Idrus kepada mStar Online sebentar tadi.

Tambah beliau, majlis angkat sumpah perlu dijalankan mengikut lunas-lunas Islam.

“Bukan mudah untuk menjalankannya, kami sedang berusaha ke arah itu,” ujar Zamri yang dilantik sebagai peguam mewaliki Saiful sekiranya kes liwatnya dibawa ke mahkamah.

Kelmarin, Mohd. Saiful melalui peguamnya menegaskan dia akan membuat akuan bersumpah menggunakan al-Quran dalam masa terdekat.

Ditanya bila akan berlangsungnya majlis angkat sumpah yang dikatakan akan dilaksanakan selepas siasatan polis lengkap, Zamri menegaskan, perkara tersebut belum dapat diputuskan lagi kerana beliau belum bertemu dengan Saiful untuk menerangkan berkenaan polis telah melengkapkan siasatan dan kes tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Ketika dihubungi pagi ini, Zamri berkata, beliau akan berbincang dengan Mohd. Saiful mengenai tarikh tersebut.

Katanya, beliau akan menemui Mohd. Saiful, yang kini diberikan perlindungan polis sejak lebih sebulan lalu, secepat mungkin.

Beliau tidak menemui Mohd. Saiful sehingga pagi ini.

"Saya baru dapat tahu tentang perkara ini semalam, beri saya ruang untuk berjumpa dengan Saiful untuk berbincang lanjut," kata beliau.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, polis telah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan tersebut dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Kelmarin, Mohd. Saiful berkata, dia akan membuat akuan bersumpah menggunakan al-Quran dalam masa terdekat.

Bercakap melalui Zamri, Mohd. Saiful memberitahu, sehingga kini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) belum menghubungi anak guamnya itu berhubung akuan bersumpah.

"Saiful akan bersumpah dan pihak media akan dimaklumkan mengenainya. Buat masa ini biar polis menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan.

"Beliau tetap dengan pendiriannya untuk membuat akuan bersumpah dan beliau melakukannya dengan sukarela, bukan atas paksaan," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...