Friday, August 1, 2008

Ng Yen Yen Bimbang Tidak Dapat Sokongan Perwakilan Lelaki Dalam Perhimpunan Agung

01 Ogos, 2008 20:17 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen yang telah menyatakan hasrat bertanding jawatan tertinggi parti Oktober ini, melahirkan rasa bimbang tidak mendapat sokongan daripada perwakilan lelaki dalam perhimpunan agung nanti.

Justeru, Dr Ng berkata beliau akan berusaha mendapatkan pandangan perwakilan lelaki sebelum membuat keputusan tentang jawatan mana yang harus beliau tandingi.

"Ini penting kerana 80 peratus perwakilan dalam perhimpunan agung nanti terdiri daripada lelaki," katanya selepas menyampaikan sijil kepada peserta program penjagaan kanak-kanak di Wisma MCA di sini.

Dr Ng yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata beliau belum membuat keputusan sama ada hendak bertanding jawatan presiden, timbalan presiden atau naib presiden.

"Saya memang berminat untuk bertanding salah satu daripada ketiga-tiga jawatan tersebut. Buat masa sekarang saya perlu membuat satu kajian yang teliti untuk mendapat pandangan daripada anggota perwakilan lelaki.

"Sebab ini adalah kali pertama dalam sejarah MCA ada seorang wanita yang berminat bertanding untuk jawatan tinggi, saya nak tengok bolehkah mereka terima saya, (tapi) pada pandangan saya, mereka boleh (terima)," katanya.

Dr Ng berkata setakat ini beliau mendapat sokongan penuh daripada MCA Kelantan yang ingin beliau bertanding antara tiga jawatan tertinggi dalam pemilihan parti.

Katanya, beliau baru memulakan lawatan kerja ke Kelantan dan yakin akan mendapat sokongan daripada MCA negeri yang lain setelah membuat lawatan ke MCA seluruh negara.

Dr Ng berkata beliau berharap dapat mengubah tradisi MCA yang jawatan tertinggi sentiasa disandang oleh lelaki dan menegaskan bahawa ahli politik wanita boleh meringankan beban ahli politik lelaki.

"Saya yakin akan diberi peluang untuk bertanding jawatan tertinggi tersebut," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...