Friday, August 1, 2008

BN Belum Tentukan Calon Untuk Permatang Pauh, Kata Najib

BERNAMA
01 Ogos, 2008 15:34 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) masih belum membincangkan soal calon yang akan bertanding bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Soal pencalonan perlu mengikut prosedur di mana perbincangan di peringkat perhubungan negeri dan bahagian perlu dibuat dahulu sebelum pucuk pimpinan membuat keputusan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata perbincangan mengenai soal calon boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

"Bila-bila pun kita boleh bincang, tidak perlulah kita beritahu bila," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan biasiswa AmanahRaya kepada pelajar-pelajar yang akan mengikuti program Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, di sini hari ini.

Najib mengulas cadangan pihak tertentu agar bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor diletakkan untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh berikutan peletakan jawatan oleh penyandang kerusi itu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, semalam.

Ezam yang kini merupakan anggota Umno dilaporkan sebagai bersedia untuk bertempur dengan Penasihat PKR itu habis-habisan tidak kira sama ada beliau dicalonkan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh atau sebaliknya. Najib menyifatkan keputusan Wan Azizah untuk meletakkan jawatan bagi membuka laluan kepada Anwar untuk bertanding sebagai cuba membawa masalah Anwar kepada rakyat khususnya pengundi di Permatang Pauh.

"Tuduhan itu (liwat) dibuat oleh pegawai khas dia sendiri bukan oleh kerajaan dan ada cara-cara untuk selesaikan tanpa perlu membawa perkara ini kepada rakyat. Tetapi dia tidak pilih cara tersebut, (sebaliknya) pilih untuk bawa perkara ini kepada rakyat. Dia dah ambil keputusan dan kita akan hadapinya," katanya.

Najib berkata beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh bagi pilihan raya kecil itu.

"Ini bukanlah untuk saya putuskan, SPR yang akan membuat keputusan, apa yang saya sendiri inginkan tidak penting, apa jua keputusan SPR kita akan akur dan akan membuat persiapan yang perlu," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak berasa tergugat dengan pilihan raya kecil itu.

Ditanya sama ada kemenangan BN di Permatang Pauh akan menamatkan percubaan politik Anwar, Najib berkata adalah mudah untuk meramalkan keputusan mana-mana pilihan raya.

"Segala-galanya boleh berlaku dalam pilihan raya kecil itu... yang nyata beliau telah membuat perkiraan dengan bertanding di kawasan pilihan rayanya sebelum ini, yang ketika ini diwakili isterinya. Kawasan pilihan raya yang mampu memberikan beliau peluang untuk menang," katanya.

Mengakui bahawa persaingan mungkin sengit, Najib bagaimanapun berkata BN akan melakukan yang terbaik untuk merampas semula kerusi berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...