Monday, June 16, 2008

Askar larikan anak, cucu pengusaha batik ditahan

Oleh Betty Subaryati

KOTA BHARU: Anak perempuan dan cucu seorang pengusaha batik di negeri ini menempuh saat cemas selama kira-kira enam jam apabila dilarikan dua anggota tentera sebelum diselamatkan polis, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, polis terpaksa merempuh belakang kereta yang dinaiki suspek dan dua beranak itu selepas arahan berhenti tidak diendahkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata wanita berusia 28 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun itu cedera ringan di muka dipercayai terkena serpihan cermin yang pecah ekoran pelanggaran itu dan dirawat di sebuah hospital swasta di sini.


Kedua-dua anggota tentera berusia 24 dan 23 tahun serta bertugas di Pulau Pinang dan Kelantan itu pula ditahan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kes samun bersenjata.


Beliau berkata, dua beranak berkenaan sebelum itu disamun seorang daripada suspek terbabit yang bersenjatakan pisau, ketika hendak memasuki kereta selepas membeli makanan di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini, kira jam 6.30 petang kelmarin.

"Lelaki terbabit menyamun wang tunai RM130, dua telefon bimbit serta pelbagai barang kemas milik mangsa dan memaksa wanita itu memandu kereta berkenaan selama beberapa jam di sekitar bandar ini.

"Kira-kira jam 10.30 malam, suspek memaksa mangsa memandu ke arah Jalan Padang Tembak di Pangkalan Chepa sebelum bertemu dengan suspek kedua yang menunggu di situ dengan motosikal.

"Suspek kemudian memandu kereta itu dan membawa bersama dua beranak berkenaan," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Abd Rahim berkata, suami mangsa membuat laporan polis selepas gagal menghubungi isterinya menerusi telefon bimbit dan kebetulan seorang pekerjanya turut melihat kereta mangsa dipandu seorang lelaki di kawasan Kemumin.

Berdasarkan maklumat itu, polis melancarkan gerakan sebelum mengesan kereta mangsa di kawasan berkenaan.

"Dalam usaha menyelamatkan dua beranak itu, polis terpaksa melanggar kereta terbabit dari belakang. Tindakan itu menyebabkan suspek cedera dan terpaksa berhenti di tempat kejadian," katanya.

Berita Harian Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...