Monday, June 16, 2008

Pemasangan Percuma Tali Pinggang Keledar Tempat Duduk Belakang Untuk 479,000 Kereta

16 Jun, 2008 19:23 PM
Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kira-kira 479,000 kereta yang didaftarkan sebelum 1995 dijangka mendapat pemasangan percuma tali pinggang keledar tempat duduk belakang bermula awal tahun depan sehingga pertengahan 2010, di bawah program penajaan yang dimulakan oleh kerajaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat berkata setiap pemasangan membabitkan kos purata sehingga RM80 dan kos purata untuk satu set tiga tali pinggang keledar tempat duduk belakang ialah RM100, bagaimanapun kos keseluruhan akan ditanggung oleh pengeluar atau menerusi tajaan oleh warga korporat.

Pemilik kereta hanya perlu membawa kereta mereka ke bengkel terpilih yang dilantik oleh pengeluar untuk memasangnya.

Ong berkata kira-kira 476,000 kenderaan yang dikeluarkan sebelum 1995 akan terbabit dalam usaha berkenaan, iaitu Perodua Kelisa (28,000), Perodua Kancil (141,000), Perodua Kenari (33,000) dan Proton Iswara/Saga/Gen 2 (150,000), Naza (30,000) dan jenis lain (20,000).

"Berapakah tajaan yang kami peroleh sehingga kini untuk program itu? Kami akan beritahu apabila kami umumkan rakan kerja kami dan apabila kami memeterai MoU berasingan dengan mereka," katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif di sini.

Ong berkata Memorandum Persefahaman (MoU) pertama dijadual ditandatangani esok antara Proton dan kementerian.

Di bawah MoU itu, Proton akan membayar kos pemasangan tali pinggang keledar untuk model kereta keluaran mereka, di bengkel Proton seluruh negara.

"Kementerian masih memperincikan butiran penajaan dengan pengeluar kereta lain. Saya berkeyakinan Kementerian Pengangkutan akan memperoleh tajaan yang cukup untuk program berkenaan.

"Setakat ini, respons daripada syarikat swasta di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat mereka amat menggalakkan," katanya.

Ong berkata pemilik kereta boleh memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang secara percuma dengan pengeluar asal di bengkel terpilih dan pengeluar terbabit dijangka mengumumkan pelan tindakan mereka tidak lama lagi.

Menteri itu berkata peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang turut merangkumi MPV dan 4WD, sekiranya diklasifikasikan sebagai kenderaan penumpang dengan lapan penumpang atau kurang.

Bagaimanapun, sebahagian besar daripada kenderaan ini telahpun dilengkapkan dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

Bagaimanapun, beliau berkata peraturan untuk memakai tali pinggang keledar tempat duduk belakang tidak terpakai kepada kanak-kanak bawah 10 tahun.

"Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menggalakkan penggunaan basinet bayi dan kerusi kanak-kanak.

"Namun, peraturan ini bukanlah wajib. Mengikut undang-undang baru tali pinggang keledar tempat duduk belakang, kanak-kanak berumur 10 tahun dan ke bawah dikecualikan," katanya.

Ong berkata pemasangan perlu dilakukan di bengkel terpilih yang diperakukan oleh pengeluar kerana mereka mahu memastikan ia dipasang dengan baik oleh orang yang berkelayakan.

"Kami tidak boleh sewenang-wenangnya menghantar ke bengkel Ah Chong, Ahmad atau Muttu untuk dipasang. Kesesuaian peralatan perlu dipastikan dan diteliti," katanya.

Beliau berkata langkah mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang bertujuan mengurangkan kematian di jalan raya membabitkan kenderaan penumpang dan bukan untuk menambah bebanan kepada orang ramai.

"Kami telahpun menjalankan semua tinjauan dan kajian.

Kami tidak mahu masyarakat membayar untuk pemasangan itu memandangkan mereka sudahpun menanggung kesukaran misalnya harga bahan api yang tinggi.

Jadi kami melakukan tugas kami untuk membantu mereka (dengan mendapatkan pengeluar dan syarikat korporat bagi menaja usaha itu) namun pada masa sama, kami perlu menyampaikan mesej yang jelas.

"Sayapun bukanlah mahu mewujudkan jutawan segera.

Langkah ini juga bukan untuk mengkayakan kroni," katanya berterus terang, sambil menambah kerajaan mengambil dayausaha ini untuk menunjukkan keseriusannya dalam mewujudkan budaya keselamatan jalan raya bertaraf dunia di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Suret Singh berkata dianggarkan bahawa risiko kecederaan parah atau kematian dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus, sebaik sahaja orang ramai mula mematuhi peraturan memakai tali pinggang tempat duduk belakang.

"Ini dapat diterjemahkan dengan menyelamatkan kira-kira 350 nyawa setiap tahun berasaskan kajian ke atas kemalangan jalan raya tahun lepas yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros)," katanya.

Awal bulan ini, kerajaan melancarkan kempen penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang sebagai sebahagian daripada tempoh percubaan enam bulan bagi menyemai kesedaran dalam kalangan penumpang kereta untuk memakai tali pinggang keledar, sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan pada 1 Jan, 2009.

Bagaimanapun, pemilik kereta yang dikeluarkan sebelum 1995 diberikan kelonggaran mulai 1 Jun tahun ini untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...