Monday, June 16, 2008

Kita juara

SINGAPURA - Lee Chong Wei melengkapkan kejuaraan berganda Malaysia apabila menjuarai acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, semalam selepas kejuaraan beregu lelaki menjadi milik pasangan negara Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan M Tazari.

Pemain nombor dua dunia, Chong Wei tiada tandingan buat lawannya, Simon Santoso dari Indonesia pada perlawanan akhir apabila menang mudah 21-13, 21-5 dalam masa 29 minit.

Beraksi di depan ribuan penyokong pemain tuan rumah, Chong Wei mempamerkan kelas tersendiri apabila tidak melepaskan sebarang mata kepada Simon sehingga kedudukan 15-0 di set kedua.

Ia merupakan kejuaraan Siri Super kedua Chong Wei selepas menjuarai Terbuka Malaysia Januari lalu.

Chong Wei yang menjadi sandaran pingat Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini tidak menghadapi laluan sukar untuk memenangi kejuaraan berikutan ketiadaan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China serta pemain tuan rumah yang juga juara Olimpik, Taufik Hidayat.

Sebelum itu, kejuaraan beregu lelaki sah milik negara apabila dua pasangan negara berentap sesama sendiri di perlawanan akhir.

Namun, kemenangan memihak kepada gandingan Mohd. Zakry-Mohd. Fairuzizuan apabila menewaskan Gan Teik Chai-Lin Woon Fui 21-18, 21-17.

Ia merupakan kejuaraan pertama Siri Su- per buat beregu nombor tiga negara itu.

Sementara itu, perseorangan wanita milik juara Seluruh England dari Denmark, Tine Rasmussen yang menumpaskan pemain Hong Kong, Zhou Mi 21-19, 21-17.

China tidak pulang dengan tangan kosong apabila menjuarai beregu wanita menerusi gandingan Jing Du-Yang Yu menundukkan pasangan Taiwan Wen Hsing Cheng-Yu Chin Chien 21-16, 21-19.

Dalam acara beregu campuran, juara dunia yang juga pilihan pertama kejohanan Nova Widianto-Liliyana Natsir dari Indonesia menewaskan pasangan England, Anthony Clark-Donna Kellogg 17-21, 21-14, 21-9.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...