Monday, June 16, 2008

'Les Bleus tidak harus panik'

Prestasi sewaktu menentang Belanda sedikit sebanyak memberi harapan: Jacquet

'CHEXBRES (Switzerland): Bekas jurulatih, Aime Jacquet yang memimpin Perancis menjuarai Piala Dunia 1998, berkata barisan bergelar Les Bleus itu tidak harus mudah panik ketika turun dalam perlawanan terakhir, pertembungan hidup atau mati Kumpulan C menentang juara dunia, Itali, esok.

Dengan hanya punya pilihan tunggal meraih kemenangan selepas tumbang kepada Belanda dan seri dengan Romania, Jacquet kelmarin berkata, prestasi sewaktu menentang Belanda sedikit sebanyak memberi harapan meskipun keputusan tidak memihak Perancis.


"Kita dapat melihat wajah sebenar pasukan Perancis dengan dinamis, idea, kewujudan serta pemain yang kelihatan mampu memberi cabaran. Bagaimanapun, seperti yang kerap berlaku, kita dikejutkan dengan keadaan bola mati.


"Memang menyedihkan kita gagal kembali bangkit selepas jaringan Thierry Henry. Namun ia menunjukkan sejauh mana kemampuan lawan," kata Jacquet yang merakam detik terbaiknya sewaktu menewaskan Brazil 3-0 di Stade de France pada Piala Dunia 10 tahun lalu.

Pasukan Belanda mara penuh bergaya dengan elemen mereka memiliki barisan pemain simpanan yang boleh dikerah serta miliki pemain berbakat yang mempunyai semangat tinggi selain mampu menjaringkan gol, katanya.

Jacquet berkata, barisan bek Perancis tidak begitu ampuh dan mereka dibiarkan bersendiri mengekang serangan - perkara yang agak tidak seimbang. 'Saya ingin nyatakan, saya menghargai pemain depan seperti (Lilian) Thuram dan (William) Gallas'.

Bagaimanapun pada masa sama, Jacquet akur apabila berkata: "pasukan terbaik akan menang - dan sekarang, nasib tidak memihak di tangan kita'.

Dia menegaskan, harapannya kini supaya Perancis tidak terhumban ke dalam perangkap dan merasakan 'segala-galanya sudah tamat', ketika pasukan bimbang Belanda mungkin menurunkan barisan simpanan ketika berdepan dengan Romania - sesuatu yang boleh memberi kelegaan buat lawan untuk mengilhamkan kemenangan mengumpul empat mata dan tetap layak ke suku akhir.

"Pasukan simpanan Belanda pasti membuktikan kemampuan mereka dan menghantar mesej kepada jurulatih Marco van Basten bahawa mereka boleh diharapkan.

"Dan Romania pula mungkin berisiko berdepan kepenatan ketara selepas bermain dalam dua perlawanan hebat," kata Jacquet. - AFP

Berita Harian Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...