Monday, June 16, 2008

Pemuda PAS berhimpun jika konsert dangdut, rock diteruskan

Saidah Hairan
Mon | Jun 16, 08 | 2:51:37 pm MYT

SHAH ALAM, 16 Jun (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Selangor akan mengadakan perhimpunan membantah konsert Ratu Rock, Ella dan Ratu Dangdut, Mas Idayu jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap memorandum bantahan yang dihantar kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mokhyi berharap Khalid segera bertindak agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi khususnya PAS dalam kerajaan yang baru diamanahkan oleh rakyat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik, Nik Nazmi Nik Ahmad di tingkat 20, Pejabat Menteri Besar, di sini pagi tadi.

Sempena sambutan 100 hari, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Kelab Darul Ehsan Berhad akan menganjurkan pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor iaitu antara pasukan pilihan Selangor dengan Singapura.

Menurut Sallehen, Pemuda PAS Selangor menyokong penuh pertandingan tersebut kerana sukan merupakan salah satu kegiatan hidup dan mampu menjana ekonomi negeri.

"Kami difahamkan bagi menyerikan program itu turut diadakan konsert Mas Idayu dan Ella. Sudah pasti persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi dan tidak ada tempat dalam Islam," tegasnya.

Beliau berkata, konsert itu hanya menggambarkan program gaya hidup mewah dan membazir sedangkan pada waktu yang sama rakyat berada dalam kegelisahan dan tekanan akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan.

Katanya, setiap pemimpin perlu menunjukkan teladan hidup berjimat cermat dan mengelakkan daripada gaya hidup mewah.

Sallehen menegaskan isu prinsip seperti menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak boleh dikompromi atau ditutup sebelah mata oleh PAS, sebuah parti yang konsisten dalam perjuangan Islam sejak 50 tahun.

PAS menyedari bahawa konsert Mas Idayu dan Ella hanya akan menyumbang ke arah peningkatan gejala sosial yang memang sudah cukup membimbangkan, katanya.

Menurut beliau, rakyat Selangor mesti dipacu ke arah memiliki akhlak dan moral yang baik di samping maju dan sejahtera dalam suasana bersih, telus dan bebas rasuah.

Konsert itu akan mengundang imej yang tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Rakyat apatah lagi imej Islam di ambang 100 hari pihak berkenaan memerintah negeri Selangor, tegasnya.

Harakah Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...