Saturday, July 5, 2008

Anwar Patut Tumpu Langkah Tangkis Dakwaan Liwat Elak Rakyat Keliru, Kata Muhyiddin

05 Julai, 2008 16:17 PM

MUAR, 5 Julai (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari Sabtu menegaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim patut menumpukan langkah menangkis dakwaan kes liwat terhadap dirinya bagi mengelak kekeliruan rakyat.

Beliau berkata cara Anwar menangani masalah hingga melibatkan hampir seluruh rakyat di negara ini dalam isu peribadi beliau telah meletakkan rakyat dalam keadaan tidak tentu arah atau keliru.

"Saya dapat maklumat, sudah ada kebimbangan di kalangan rakyat bahawa Datuk Seri Anwar akan mengulangi episod-episod lama tahun 1998 dahulu. Rakyat juga tidak faham ada pengakuan bersumpah dikemukakan tetapi ditarik balik, semuanya berbangkit kerana kes Datuk Seri Anwar," katanya.

Akibatnya, perkara ini menimbulkan situasi kurang selesa dalam negara apatah lagi ketika rakyat sedang menghadapi masalah kenaikan harga barang ekoran daripada harga minyak global, katanya selepas merasmikan Bengkel Usahawan Wanita dan pelancaran Direktori Usahawan Wanita Malaysia 2008, di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau dimaklumkan bahawa laporan media barat menggambarkan seolah-olah Malaysia sedang menghadapi kegawatan politik sehingga ada tanggapan bahawa ekonomi negara diteraju secara `auto pilot' sedangkan ia sebenarnya ditadbir oleh kerajaan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...