Saturday, July 5, 2008

YA ALLAH SELAMATKANLAH

Petikan: Blog Kuda Kepang

Sekumpulan rakyat jelata dijangka berhimpun di Stadium Kelana Jaya, Selangor, pada Ahad 6 Julai 2008, untuk memprotes kenaikan harga minyak.


Tiada siapa dapat menganggarkan jumlah sebenar yang akan hadir di perhimpunan berkenaan. Tetapi, sesuatu perhimpunan yang berlatarbelakangkan suasana politik mutakhir ini mungkin boleh bertukar jadi suatu perhimpunan yang membimbangkan semua pihak.

Lebih-lebih lagi bila kini terdapat sekumpulan hampir 5,000 orang “tetamu” yang diundang khas oleh sesetengah pihak untuk sama-sama “memeriahkan” perhimpunan berkenaan.

Para “tetamu” tersebut dijangka menghadiri perhimpunan di atas untuk “menyemarakkan” suasana supaya jadi lebih panas dan menggelegak.

Banyak pihak sudah mengetahui akan kehadiran “tetamu” ini. Jangan siapa cuba nafikan, jangan siapa cuba tutup kebenarannya.

Soalnya, siapakah yang mengundang para “tetamu” ini? Siapakah tuan rumah mereka? Siapakah yang membiayai mereka? Dan, adakah pihak berkuasa keselamatan kita mengetahui kehadiran mereka?

Oleh itu, wajar kita imbas semula kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Kuala Lumpur pada 3 Julai 2008, mengenai keselamatan negara seperti berikut:

“Keadaan negara adalah aman dan selamat dan rakyat tidak perlu bimbang dan percaya dengan khabar angin yang mendakwa negara kini dalam keadaan darurat. Keadaan ekonomi dan keselamatan negara juga dalam keadaan terkawal dan rakyat tidak sepatutnya terlampau teruja dengan apa yang berlaku di negara pada masa ini. Negara tidak berada dalam keadaan darurat. Kerajaan ini sebuah kerajaan yang stabil, percayalah.”

Kita kena percayakan kenyataan Abdullah di atas. Tapi, kita kena juga tanya beliau, benarkah kini terdapat hampir 5,000 “tetamu” yang diundang khas untuk “menyemarakkan” perhimpunan rakyat di Stadium Kelana Jaya, Selangor, pada 6 Julai 2008? Adakah Abdullah tahu akan hal ini? Adakah Abdullah memberikan restu kepada undangan “tetamu” ini?

Kita juga kena tanya Abdullah, mengapakah pada 2 Julai 2008, Bernama melaporkan bahawa “Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) buat julung kalinya melancarkan latihan bersama bagi mengatasi masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara.”

Apakah “masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara” yang mahu ditangani secara bersama oleh PDRM dan ATM dalam tempoh terdekat ini?

Adakah para “tetamu khas” yang dijangka turut “menyemarakkan” suasana di Stadium Kelana Jaya pada 7 Julai 2008 akan mencetuskan “masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara” yang perlu ditangani oleh PDRM dan ATM? – Ruhanie Ahmad

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...