Saturday, July 5, 2008

Raja Petra Enggan Dedah Sumber Mengenai Penglibatan Tiga Individu Dalam Kes Pembunuhan Altantuya

05 Julai, 2008 23:00 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Pengendali blog Raja Petra Raja Kamaruddin hari ini berkata beliau bersedia dihadapkan ke mahkamah daripada mendedahkan sumber yang memberikannya maklumat mengenai penglibatan tiga individu dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu yang dibuatnya dalam akuan bersumpahnya.

Raja Petra yang memberi keterangan kepada polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul petang tadi berkata keenggannya mendedahkan sumber yang memberikan maklumat itu kepadanya adalah kerana bimbang akan keselamatan sumber itu.

Beliau yang tiba di IPD Sentul, dengan diiringi oleh isterinya, Marina Abdullah dan peguam Amarjit Singh, pada pukul 5.10 petang keluar hampir dua setengah jam kemudian pada pukul 7.45 petang.

Raja Petra berkata pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa beliau sedang disiasat di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan berikutan laporan polis yang dibuat oleh pejabat Peguam Negara pada 20 Jun lepas yang mendakwa beliau membuat pengakuan palsu.

"Saya diarah memberi keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah, iaitu prosedur memberi keterangan ke atas sesuatu kes, selepas laporan polis telah dibuat ke atas saya oleh Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangannya di sini, Sabtu.

Raja Petra berkata beliau telah dihubungi polis pada pukul 12 tengah hari tadi supaya menghadirkan diri di IPD Sentul tanpa memaklumkan tujuannya.

Katanya semasa memberi keterangan, polis banyak bertanya mengenai pemberi maklumat atau sumber yang memberitahu keterlibatan tiga individu tersebut di dalam akuan bersumpahnya tetapi beliau tidak mendedahkannya atas sebab keselamatan sumber itu.

"Mereka berkeras mahu saya mendedahkan pemberi maklumat itu, tapi saya tidak melakukannya. Mereka (polis) mungkin akan mendakwa saya di mahkamah kerana enggan mendedahkannya," katanya.

Raja Petra berkata beliau sedia untuk didakwa di mahkamah, dan yakin pada masa itu sumbernya akan menghuraikan kebenaran.

Beliau juga disoal siasat sama ada ada memberi kebenaran kepada laman web Malaysiakini dan sebuah laman blog untuk menyiarkan akuan berkanunnya.

Raja Petra dalam akuan bersumpahnya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Jun lepas mendakwa isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, pakar bom pemangku Kolonel Aziz Buyong dan isterinya, Norhayati, pengawal pengiring (ADC) Rosmah, berada di tempat kejadian di mana mayat Altantuya diletupan di Puncak Alam, Shah Alam pada 19 Okt 2006.

Akuan berkanun itu turut mendakwa Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga anggota Parlimen Rembau menyimpan laporan perisikan tentera mengenai kehadiran Rosmah, Aziz dan Norhayati di tempat kejadian itu.

Polis setakat ini telah mengambil keterangan daripada Rosmah, Khairy, Aziz dan Norhayati dan kesemua mereka menafikan dakwaan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak turut menafikan dakwaan itu.

Semalam Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lt Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail pula menafikan wujudnya laporan perisikan tentera seperti yang didakwa oleh Raja Petra.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...