Saturday, July 5, 2008

FAM sudah buat penjelasan kepada KBS, kata Azuddin

Petikan: Berita Harian


PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah memberikan segala bantuan dan maklumat yang diperlukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai masalah pengiktirafan Piala Juara-Juara Belia (CYC) bagi edisi kedua tahun ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata badan induk bola sepak negara itu sudah menjelaskan kepada KBS semua persoalan mengenai pengiktirafan CYC termasuk mendapatkan penjelasan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Saya sudah memanjangkan perkara ini kepada FIFA dan dalam satu kenyataan balas kepada FAM, ia menyatakan pengiktirafan kepada sesuatu kejohanan diberikan dari tahun ke tahun,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kementerian difahamkan oleh promoter kejohanan, Gifted Group Limited (GGL) bahawa kelulusan untuk menganjurkan CYC sudah diperoleh untuk tempoh tiga tahun, bermula pada 2007.

Walaupun KBS memberi “lampu hijau” Isnin lalu kepada GGL untuk meneruskan kejohanan itu dengan syarat perlu mendapatkan pengiktirafan daripada FAM namun syarikat promoter yang berpangkalan di United Kingdon itu berpendapat ia sudah terlambat.

Malah GGL dikatakan akan menuntut ganti rugi daripada KBS berikutan pembatalan kejohanan bola sepak yang melibatkan pemain-pemain remaja daripada 12 kelab ternama dunia itu.

Sementara itu Azzuddin turut mengumumkan pelantikan bekas wartawan sukan, Muhammad Rizal Hashim, sebagai pengawai perhubungan media FAM yang baru selepas jawatan itu kosong selama 10 bulan. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...