Saturday, July 5, 2008

Pemimpin MIC Perlu Ketepikan Kepentingan Sendiri Demi Parti, Kata Bekas Timbalan Presiden MIC

05 Julai, 2008 18:23 PM

Oleh Ghandi Kasinadan

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama)-- Anggota MIC perlu mengutamakan kepentingan parti daripada diri sendiri, kerana tujuan mereka berada dalam parti adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat, kata bekas Timbalan Presidennya Datuk S. Subramaniam.

Beliau berkata perjuangan yang bermotifkan kepentingan diri pasti akan membawa padah kepada karier politik pemimpin parti itu kerana anggota parti dan pengikut mereka akan hilang kepercayaan terhadap kewibawaan pemimpin tersebut.

Beliau berkata demikian kepada Bernama TV dalam satu wawancara eksklusif di sini hari ini mengenai isu pergolakan dalam Pemuda MIC berikutan tindakan Ketua Pemuda MIC S A Vigneswaran meletak jawatan dan keluar parti pada minggu lepas.

Vigneswaran yang merupakan anggota parti melebih dua dekad meninggalkan parti kerana tidak puas hati dengan keputusan Jawatakuasa Kerja Pusat (CWC) MIC supaya pemimpin Pemuda MIC yang berumur lebih 40 tahun, walaupun tempoh perkhidmatan belum berakhir, perlu meletakkan jawatan.

Selain Vigneswaran, beberapa lagi pemimpin sayap itu turut diminta mengosongkan jawatan dengan segera memandangkan mereka telah melepasi had umur yang ditetapkan untuk memegang jawatan dalam pergerakan Pemuda MIC berdasarkan peraturan dalam Perlembagaan parti itu.

Antara yang terpaksa melepaskan jawatan ialah Timbalan Ketua Pemuda S. Ramis dan Setiausaha M. Kumaresan, Ketua Penerangan K. Raj Kumar dan wakil Pemuda dalam CWC, S. Murugesan.

Berikutan tindakan Vigneswaran itu, Ketua Briged Pemuda MIC Kedah dan Timbalan serta semua anggota jawatankuasa briged itu meletakkan jawatan parti pada Rabu lepas, serta membubarkan sayap itu yang mempunyai kira-kira 1,000 anggota.

Di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Pemuda MIC negeri itu Vincent David meletakkan jawatan pada Selasa lepas kerana tidak puas hati terhadap arahan pucuk pimpinan supaya Vigneswaran melepaskan jawatan.

Subramaniam berkata dalam politik, "kadang-kadang kita tidak dapat apa yang kita hasratkan. Kita perlu terima dugaan itu demi kepentingan parti. Sebab parti lebih besar dan lebih penting daripada individu.

"Ini pendirian saya. Saya tidak menggalak atau setuju dengan tindakan itu (keluar dari parti)," kata orang lama MIC yang banyak melalui duri dan ranjau dalam perjuangannya dalam parti itu.

Subramaniam berkata tindakan keluar parti adalah tindakan yang tidak membina.

"Bagi saya jatuh bangun seseorang pemimpin harus bersama parti yang diwakili.

Vigneswaran sebagai pemimpin yang pernah memimpin dan menerajui sayap pemuda MIC, bukan tidak tahu perkara ini. Parti sebagai rumah dan apa juga masalah kita perlu selesaikan dalam parti. Bukan di luar parti," katanya.

Subramaniam yang kalah mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang selama 25 tahun tidak mengambil jalan 'keluar parti dan memberontak' apabila kecundang di tangan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel pada pemilihan parti 2006 lalu.

Malah, beliau sanggup melupakan krisis lama yang berpanjangan lebih dua dekad dengan Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mengukuhkan parti itu, selepas MIC mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Apa jua yang berlaku saya tidak keluar dari parti. Itu bukan penyelesaian terbaik. Sebab bagi saya parti lebih penting dan lebih besar daripada seseorang", kata Subamaniam yang kini hanya memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian MIC Seputih, Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai keputusan CWC itu, Subramaniam berkata beliau percaya tindakan itu diambil adalah bagi menggalakkan lebih ramai golongan profesional muda dan berpandangan jauh menyertai parti itu dan bukan bertujuan meminggirkan sesiapa termasuk bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan itu daripada politik MIC.

Subramaniam berkata selain menghormati perlembagaan parti, Vigneswaran juga harus mengambil pendirian membela dan memperjuangkan nasib dirinya dengan terus berada dalam parti.

Tindakan Vigneswaran meninggalkan MIC katanya, tidak menggugat keutuhan parti itu kerana majoriti ahli masih menaruh kepercayaan penuh terhadap keupayaan parti dan pemimpinnya dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India dalam Barisan Nasional.

Beliau bagaimanapun kesal dengan tindakan Briged Pemuda MIC Kedah dan Perak yang membubarkan sayapnya kerana mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Samy Vellu.

Mengenai suara-suara yang mahukan beliau bertanding untuk jawatan Presiden pada pemilihan parti Mac 2009, Subramaniam berkata beliau belum fikir mengenai perkara itu kerana ia masih jauh.

"Bagi saya perkara itu tidak langsung masuk (timbul pada) akal saya. Saya tidak fikirkan tentang pemilihan parti atau jawatan dalam parti. Apa yang penting sekarang ialah semua lapisan pemimpin MIC perlu bersatu padu untuk mengukuhkan parti dan seterusnya mendapatkan semula keyakinan masyarakat India di negara ini," katanya.

Subramaniam pada pemilihan parti 1989 telah mencabar Samy Vellu untuk jawatan presiden dan gagal dalam pertandingan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...