Saturday, July 5, 2008

Najib Nafi Terbabit Dalam Penarikan Balik Akuan Bersumpah Balasubramaniam

05 Julai, 2008 21:40 PM

PEKAN, 5 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan sebarang pembabitan berhubung tindakan penyiasat persendirian P Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpah yang mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Saya tidak tahu menahu," kata Najib yang diminta mengulas tindakan Balasubramaniam itu semalam.

Dalam akuan bersumpah yang diumumkan pada Khamis lepas, Balasubramaniam mendakwa dia diberitahu bahawa Najib mengadakan hubungan seks dengan Altantuya dan Timbalan Perdana Menteri turut memperkenalkan wanita itu kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Bagaimanapun, dalam akuan bersumpah kedua yang dibuatnya semalam, penyiasat persendirian itu berkata akuan bersumpahnya sebelum ini tidak tepat dan benar.

Ditanya jika akuan bersumpah awal penyiasat persendirian itu menjejaskan imejnya, Najib berkata: "Saya terpaksa hadapi, apa nak buat, dia dah berniat sedemikian. Saya kena terima bahawa dalam politik Malaysia dah sampai main kotor pun tak apa juga, mainkan undang-undang pun tak apa, asalkan matlamat mereka tercapai."

Najib berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap penyiasat persendirian berkenaan.

"Ini (akuan bersumpah) tidak sepatutnya berlaku, saya kesal perkara ini berlaku, dan sebab ini menyentuh pertamanya satu kes yang sedang berjalan di mahkamah. Kalau di dalam negara lain, langkah subjudis akan diambil terhadap mereka yang menyentuh kes yang masih berjalan di mahkamah," katanya.

Beliau turut menyatakan rasa kesal kerana ada pemimpin pembangkang yang terlibat dalam sidang akhbar menyentuh kes yang sedang berjalan dalam mahkamah (kes pembunuhan Altantuya).

"Sepatutnya tidak berbangkit, kes itu kes serius dalam mahkamah. Ini bukan perkara yang boleh main-main, ini soal undang-undang, itu soal nasib tiga orang di mahkamah yang menghadapi dakwaan yang begitu serius, kenapa pula kita hendak masukkan unsur politik dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...