Saturday, July 5, 2008

Mahathir: Drama politik terbaru satu komplot Anwar

Petikan: mStar Online
05-07-2008 08:45:08 PM


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa seluruh drama politik pertaruhan besar yang dipertontonkan kini kepada ramai adalah hasil komplot oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak menagih simpati daripada sesiapa. Tetapi agak keterlaluan mengharapkan saya untuk melupa dan memaafkan sesuatu yang sedang berlaku akibat komplot oleh Anwar.

"Anwar memang berjaya menghitamkan nama saya di Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi juga di negara-negara Islam. Mereka semua fikir saya mencampakkan beliau ke penjara dengan sewenangnya atas sebab-sebab politik.

"Beliau tidak pernah ceritakan bagaimana beliau dibicarakan, bagaimana beliau dibela oleh sembilan peguam, bagaimana hakim menulis keputusan 360 muka terhadap beliau, bagaimana rayuannya ditolak sebanyak dua kali," kata Mahathir dalam blognya hari ini.

Dr. Mahathir menambah: "Beliau (Anwar) telah menyaman saya sebanyak RM100 juta. Beliau telah berjaya menyebabkan peguam saya hilang kredibiliti. Sekarang saya tidak mempunyai peguam untuk membela saya menentang samannya. Saya masih menghadapi saman beliau."

Anwar, kata beliau, kini mengalihkan perhatiannya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

"Seperti biasa beliau (Anwar) mencari seseorang untuk membuat kenyataan yang mengandungi dakwaan terhadap orang itu. Nampak macam tidak ada kaitan antara komplot beliau terhadap saya dan serangannya terhadap Datuk Seri Najib.

"Tetapi jika kita kaji siapa yang akan mendapat faedahnya, kita akan lihat kaitannya," sindir Dr Mahathir tetapi tidak menyebut nama orang berkenaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...