Saturday, July 12, 2008

Bekas penuntut saman UiTM

Petikan: Utusan Online


SHAH ALAM 11 Julai - Seorang pegawai pemasaran dan jualan sebuah syarikat perakaunan yang mendakwa terjatuh dari aras ketinggian enam meter di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini dua tahun lalu, hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk menuntut ganti rugi daripada UiTM atas dakwaan cuai.

Nur Fairuzah Amat @ Saini, 26, yang menamakan UiTM sebagai defendan memfailkan writ saman melalui peguam Keppy Wong di pejabat pendaftar mahkamah itu di sini pada pukul 10 pagi ini.

Plaintif dalam pernyataan tuntutannya mendakwa pada 21 Mei 2006, beliau telah hadir ke Bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah di UiTM untuk mengambil jubah bagi tujuan menyertai upacara raptai konvokesyen sempena tamat pengajian sepenuh masa program ijazah dalam bidang perakaunan.

Ketika berada di tingkat dua di persekitaran lobi lif, plaintif mendakwa telah terlanggar sesuatu yang menyebabkannya terjatuh dari balkoni ke tingkat bawah.

Plaintif mendakwa pentadbir bangunan UiTM yang ketika itu dalam proses pengubahsuaian telah gagal meletakkan sebarang notis amaran, papan tanda mahupun sebarang bentuk halangan bagi mengelakkan kawasan tersebut dihampiri.

Nur Faizurah mendakwa, pagar besi yang mengelilingi balkoni tersebut telah dialih untuk kerja-kerja pembinaan.

Ekoran kejadian itu, plaintif mendakwa telah menjalani pembedahan di bahagian tulang belakang di sebuah pusat perubatan swasta dengan kos RM32,256.94.

Beliau mendakwa dirinya perlu menjalani pembedahan kedua pada Mac lalu dengan anggaran kos RM60,000.

Menurut plaintif, beliau telah menuntut supaya UiTM membiayai semua kos perubatannya namun defendan telah mengarahkan kontraktor pembinaan berbuat demikian.

Kontraktor terbabit didakwa hanya membayar RM20,000 dan enggan membiayai perbelanjaan berikutnya. Sehingga ke hari ini, plaintif mendakwa masih berhutang dengan pusat perubatan itu.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi khas RM13,256.99 dan ganti rugi am yang akan ditaksirkan, faedah dan kos serta relif lain yang difikirkan perlu dan wajar oleh mahkamah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...