Saturday, July 12, 2008

BN Perlu Sisih Amalan Parti Perkauman, Kata Samy Vellu

12 Julai, 2008 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu membebaskan dirinya daripada amalan politik perkauman dan menjadi parti pelbagai kaum dalam erti kata sebenar, jika ingin mendapatkan semula sokongan dan kepercayaan rakyat, kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Beliau berkata BN juga perlu bersuara dalam satu nada, di samping memastikan keperluan dan sensitiviti semua kaum di negara ini dihormati dan dipenuhi.

"Saya rasa masanya sudah tiba bagi BN memainkan peranan dengan lebih bersungguh-sungguh sebagai pelindung bagi Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum. Ini akan membantu kita mengetepikan politik perkauman," katanya pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Perhimpunan itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perhimpunan sehari yang dihadiri 3,300 anggota perwakilan itu dirasmikan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Samy Vellu berkata orang ramai perlu melihat BN sebagai parti gabungan yang sentiasa menghormati dan mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik.

"Tempoh 12 bulan lepas merupakan masa yang amat mencabar bagi kita, daripada segi politik dan ekonomi. Sebagai pemimpin, kita perlu menghadapi keadaan ini dengan semangat serta keazaman yang lebih tinggi," katanya.

Samy Vellu berkata masyarakat India hari ini melihat dan menerima MIC sebagai sebahagian daripada kerajaan dan oleh itu, setiap tindakan kerajaan dianggap sebagai tindakan parti juga.

Katanya sejak 50 tahun lepas, kerajaan BN telah mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada masyarakat India.

Beliau berkata sokongan masyarakat India terhadap BN menurun pada pilihan raya umum 8 Mac lepas kerana ada di kalangan mereka merasakan bahawa kebanyakan isu yang dekat di hati mereka, tidak ditangani dengan sewajarnya oleh kerajaan.

"Tetapi, yang berlalu itu, biarlah berlalu," kata beliau sambil menggesa BN supaya terus melangkah ke depan bagi memenuhi keperluan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Najib bagi menangani masalah yang dihadapi kaum India merupakan langkah tepat ke arah itu.

"Saya harap kita gunakanlah peluang ini untuk melahirkan perubahan dasar yang akan memberi kesan positif terhadap usaha meningkatkan taraf hidup kaum India di negara ini.

"Kita dalam MIC yakin bahawa masyarakat India Malaysia akan kembali memberi sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada kerajaan BN," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...