12-07-2008 06:40:25 PM
PORT DICKSON: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentuk satu pakatan untuk merebut dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan Disember ini.
Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan dengan pengumuman pelan peralihan kuasa 2010 membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib yang diumumkan kelmarin.
Kata Dr. Mahathir, beliau difahamkan bahawa Najib, Timbalan Perdana Menteri, sepatutnya mencabar Abdullah yang telah memutuskan untuk mempertahankan kerusi Presiden manakala Muhyiddin, Naib Presiden pula merebut jawatan Timbalan Presiden.
"Saya diberitahu kerjasama ini telah dipersetujui secara lisan oleh kedua-dua mereka. Malah, penyokong-penyokong mereka juga sudah mula berkempen untuk menjayakan kerjasama Najib-Muhyiddin," kata beliau.
"Bagaimanapun Najib telah memungkiri ini (pakatan) apabila terperangkap dengan langkah Abdullah dalam soal peralihan kuasa," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di Port Dickson Golf and Country Club di sini.
Majlis itu dianjurkan oleh Kelab Alumni Sek Bukit Saujana, Persatuan Anak Keturunan Jawa Port Dickson dan Perwaris Perkembar Port Dickson.
Kelmarin Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa dalam UMNO dengan beliau akan bersara pada Jun 2010 dan menyerahkan kedudukannya kepada Najib.
Ahli-ahli Umno menerima perkembangan itu dengan pendirian bercampur aduk.
Abdullah dan Najib masing-masing dipilih ke jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tanpa cabaran pada 2004.
Dalam reaksinya, Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam Umno yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.
"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya.
Oleh yang demikian, katanya, ada anggota parti yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.
Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menyifatkan langkah Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai Presiden UMNO merupakan satu langkah yang silap.
Ketika ditanya sama Najib atau Muhyiddin ada memberitahu beliau mengenai perkara itu, Dr. Mahathir berkata, mereka tidak memaklumkan kepadanya.
"Saya ada orang saya sendiri yang memberitahu saya perkara ini dan saya pasti perkara ini benar," katanya.
Dr. Mahathir menambah, keputusan Najib untuk tidak meneruskan hasrat beliau merebut jawatan Presiden juga telah menjejaskan imej dan kredibiliti beliau.
Ramai yang menganggap ini merupakan cara terbaik untuk memulihkan Umno tetapi Najib telah menggagalkan langkah Muhyiddin, kata bekas Presiden Umno itu.
Kata Dr. Mahathir, Najib mempunyai kelebihan jika beliau memutuskan untuk mencabar Abdullah.
Sehubungan itu katanya, kini ada kemungkinan Muhyiddin akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Malah Muhyiddin, katanya, mempunyai peluang untuk menang jika menentang Najib.
"Jika Muhyiddin menang dan menjadi Timbalan Presiden, adakah Abdullah masih memberi laluan kepada Najib menjelang Jun 2010," katanya.
Dr. Mahathir memberitahu, Umno kini dilanda budaya "saya sokong anda, anda sokong saya."
Katanya, Abdullah mesti menyerahkan kuasa sekarang memandangkan Najib memerlukan masa untuk memimpin negara mengikut pendekatannya.
"Tempoh dua setengah tahun sebelum pilihan raya umum akan datang tidak cukup. Ia hanya akan menyebabkan kekalahan lebih buruk kepada Barisan Nasional dan Umno," katanya.
No comments:
Post a Comment