Oleh Efindi Badarudin, Sarah Zulkifli, Intan Mas Ayu Shahini dan Omar Osman
SUNGAI PETANI: “Hampir setiap inci tubuhnya, termasuk bahagian mata dan pipi terdapat kesan lebam serta bengkak, manakala kepala cedera teruk.
“Saya dan suami serta ahli keluarga sangat terkejut serta tak percaya melihat keadaan fizikal mayat arwah. Bagi saya, kecederaan dialami arwah bukannya dilakukan manusia, sebaliknya binatang,” kata Tengku Rohani Tengku Ayob, 52, ibu kepada Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 22, yang mati dipercayai didera di sebuah pusat pemulihan di Kajang pada 26 Jun lalu
Tengku Rohani berkata, hatinya hancur dan sayu sebaik menatap tubuh anak lelaki daripada dua beradik itu di rumah mayat Hospital Ampang, Selangor.
Menurutnya, mereka yang melakukan perbuatan itu memang kejam dan tidak berhati perut.
|
“Saya tidak menyangka keadaan bertukar sebaliknya kerana ketika Megat dihantar lebih sebulan lalu, fizikalnya sihat serta tidak menghidap sebarang penyakit.
“Saya akan tuntut pembelaan sewajarnya atas setiap titik darah, peluh dan jeritan azab kesakitan yang ditanggung arwah,” katanya.
Tengku Rohani tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan nasib malang menimpa arwah anaknya kepada wartawan Harian Metro di rumahnya di Taman Sejati Indah, dekat sini, semalam.
Megat Mohd Amirul Adha meninggal dunia dipercayai didera di pusat pemulihan yang dikendalikan pihak swasta itu.
Doktor yang melakukan bedah siasat mengesyaki mangsa mati akibat didera kerana terdapat kesan lebam dan kecederaan di seluruh tubuhnya lalu membuat laporan polis.
Tengku Rohani berkata, sebagai ibu yang melahirkannya, dia reda dengan kematian arwah, tetapi terkilan serta sukar menerima cara kematiannya akibat diperlakukan begitu ganas dan kejam.
“Saya juga sedih apabila seorang daripada pelatih pusat pemulihan itu yang diselamatkan pada 6 Jun lalu memberitahu, arwah merayu-rayu meminta nyawa daripada ustaznya ketika dipukul kerana sedang berpuasa.
“Malah, pelatih itu juga memberitahu, sepanjang di pusat itu, arwah sering menjadi imam dan mengajar pelatih membaca al-Quran serta mengadakan tazkirah waktu malam.
“Saya berharap dengan pendedahan mengenai arwah, kejadian seperti itu tidak berulang lagi,” katanya.
Dia juga menyerah sepenuhnya kepada polis bagi mengambil tindakan terhadap individu terbabit selain mahu pihak berkuasa membongkar segala yang berlaku di rumah pemulihan berkenaan.
“Bagi memastikan kes arwah mendapat pembelaan sewajarnya, saya melantik peguam bagi mengawasi kes itu serta mengambil tindakan undang-undang ke atas pentadbir rumah pemulihan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment