Petikan: MalaysiaKini
Jul 12, 08 5:24pm
Kesemua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat dinasihatkan supaya tidak membawa tetamu mereka ke kawasan Parlimen seperti yang dibenarkan sebelum ini pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah keselamatan itu terpaksa diambil selepas beliau mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan oleh pihak pembangkang sama ada di dalam ataupun di luar kawasan Parlimen, Isnin ini.
Ia ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul itu, Isnin ini.
"Saya difahamkan, sama ada usul ini akan diterima ataupun ditolak, saya telah mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan dibuat sama ada di dalam atau di luar kawasan Parlimen, Isnin ini," katanya.
Nazri berkata pihak polis akan membuat kawalan yang ketat dan hanya akan membenarkan ahli Parlimen sahaja masuk ke dalam kawasan Parlimen, demikian menurut laporan Bernama.
"Saya telahpun menghubungi Speaker memaklumkan
tentang tindakan yang saya ambil ini, semata-mata untuk keselamatan ahli-ahli Parlimen dan juga kawasan Parlimen.
Terpulang pada polis
"Keselamatan Anggota-anggota Parlimen dan keselamatan kawasan Parlimen adalah diutamakan dan kita tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dalam kawasan Parlimen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Ngok, Beluru di Kuala Kangsar hari ini.
Ditanya sama ada pihak media yang membuat liputan akan turut terjejas dengan langkah keselamatan tersebut, Nazri berkata perkara itu adalah terpulang kepada pihak polis.
"Media, memanglah mereka bertugas. Jadi apa juga tindakan yang diambil oleh pihak polis itu terpulang kepada budi bicara mereka kerana akhirnya polis yang bertanggungjawab di atas keselamatan di kawasan itu," katanya.
Beliau berkata orang ramai juga tidak akan dibenarkan memasuki kawasan Parlimen pada Isnin ini kecuali mereka yang perlu hadir kerana bertugas.
Mohamed Nazri berkata sama ada langkah keselamatan tersebut akan dilaksanakan pada Isnin ini ataupun hari-hari berikutnya adalah bergantung kepada maklumat-maklumat yang diperolehi pihaknya mengenai perkara tersebut.
Ditanya sama ada langkah keselamatan itu berkemungkinan akan menyebabkan ahli Parlimen pembangkang memboikot sidang Dewan Rakyat Isnin ini, Mohamed Nazri berkata, "dia nak boikot, boikotlah... itu dia punya hal lah tapi saya nak bagi nasihat kepada mereka supaya jangan membawa lima orang tetamu itu kerana polis akan membuat kawalan ketat," katanya.
No comments:
Post a Comment