Saturday, July 12, 2008

Terima Anugerah Kebesaran Pulau Pinang; Datin Seri Wan Azizah kini bergelar Datuk Seri

datuk-sri-utama.jpg

Suara Keadilan.Com - Sumbangan dan ketokohan Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail diabadikan dalam sejarah negara apabila beliau dikurniakan darjah kebesaran Pulau Pinang: Darjah Panglima Pangkuan Negeri sempena Ulangtahun Yang Dipertuan Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Di rasmikan dalam suatu majlis sambutan ulangtahun pada Sabtu 12 Julai, anugerah yang dikurniakan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail itu membawa gelaran Datuk Seri.

Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjadi ikon gerakan reformasi selepas suaminya dipecat dan dihukum atas tuduhan rasuah dan sodomi pada 1998. Mengepalai jutaan rakyat menuntut reformasi di seluruh negara, Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Presiden Parti Keadilan Nasional (Adil) yang ditubuhkan pada 1999, dan seterusnya Parti KeADILan Rakyat pada 2002.

Dalam Pilihanraya Umum 1999, Dr Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh. Beliau bertahan dan berjaya mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam PRU 2004, ketika teman-teman seperjuangannya rebah satu-persatu disapu kebangkitan politik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Keseorangan, beliau terus cekal membawa suara rakyat bersama-sama rakan-rakan politik dari Pas dan DAP.

Pada PRU12 yang lalu, Dr Wan Azizah sekali lagi membuktikan bahawa hasrat BN merampas Permatang Pauh dari tangannya adalah angan-angan semata-mata. Beliau mengekalkan kerusi Parlimen itu, bahkan menambahkan majoriti undi dari 590 kepada 13,388 undi.

Dr Wan Azizah Wan Ismail - tokoh, profesional, ibu dan isteri - diberi penghormatan oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat selaku Ketua Pembangkang di Parlimen. Perlantikan beliau melakar satu lagi sejarah, menjadikannya wanita pertama dilantik Ketua Pembangkang di negara ini.

Warga Editorial Suara Keadilan mengucapkan tahniah kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail. Moga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada beliau mengharungi ombak badai politik mutakhir ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...