Monday, July 7, 2008

Dakwaan liwat: 18 disiasat, Saiful sedia bersumpah Anwar letak syarat

petikan: mtar Online
06-07-2008 11:33:49 PM

Oleh ZIEMAN, ARIFFUDIN ISHAK dan LEE YAN XIU

PETALING JAYA: Bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dia diliwat majikannya beberapa kali telah melahirkan kesanggupan untuk tampil bermubahalah sebagaimana disyorkan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin minggu lalu.

mStar Online difahamkan, satu kenyataan mengenai perkara itu akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.

Sebentar tadi, Anwar pula berkata, beliau juga bersedia untuk bersumpah jika dinasihatkan oleh ulama.

"Saya bersedia bersumpah asalkan dinasihatkan ulama. Jika mahu ikut syariat Islam, kerajaan boleh hadapkan saya ke Mahkamah Syariah. Masa itu kalau diperlukan bersumpah, saya sedia (untuk bersumpah).

"Ada akhbar yang lapor saya tidak berani untuk bersumpah. Tapi saya sudah mendapatkan pandangan ulama dari dalam dan luar negara mengenainya. Ini bukan perkara mainan," kata beliau ketika berucap pada perhimpunan Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya malam ini.

Anwar merupakan orang terakhir berucap pada perhimpunan yang bermula pukul 10 pagi tadi.

Kata beliau, Mahkamah Syariah merupakan tempat yang sesuai untuk melakukan sumpah.

Bagaimanapun Anwar yang berhadapan dengan dakwaan meliwat buat kali kedua dalam tempoh satu dekad memberitahu bahawa kes terbaru ini tiada asas langsung.

"Kemukakan bukti terlebih dahulu," kata beliau sambil menambah, isu terbaru ini sengaja diadakan untuk mengalih tumpuan rakyat daripada kes pembunuhan wanita Mongolia.

"Kalau hendak siasat, siasat dengan adil. Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya," katanya.

Dalam pada itu, sumber memberitahu mStar Online, Saiful, 23, yang kini berada di bawah perlindungan keselamatan polis juga menyambut baik cadangan itu memandangkan ia satu peluang bagi memulihkan namanya yang turut tercalar.

Kata sumber itu, proses bermubahalah yang disyorkan Mufti Perlis sebenarnya berkehendakkan dua pihak, dalam kes ini Saiful dan Anwar, untuk sama-sama melakukannya.

"Kesediaan Saiful untuk bersumpah secara tidak langsung memberi tamparan hebat dan tekanan ke atas Anwar yang tidak mengambil serius cadangan bersumpah secara mubahalah ini," kata beliau ketika dihubungi petang ini.

Bagaimanapun ketika ditemui wartawan di Butterworth semalam, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan menjawab soalan media berkenaan cabaran supaya beliau bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi mempertahankan dirinya dalam isu berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah perdana di sini malam tadi, beliau yang dikawal ketat oleh beberapa penyokongnya terus berlalu tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Mohd. Asri meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Anwar dan Saiful supaya 'bermubahalah' atau bersumpah.

Dalam temu bual dengan sebuah akhbar harian semalam, Anwar berkata, beliau lazimnya bersumpah apabila membabitkan isu-isu seperti itu sebelum ini.

Namun untuk dakwaan kali kedua ini, Anwar tidak mahu lagi melayan cadangan mereka yang mahu beliau bersumpah kerana beranggapa n ia hanya satu helah semata-mata.

Mohd. Asri sebelum ini mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta Mufti Perlis tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Mohd. Asri tidak dipengaruhi manamana badan politik.

Bagaimanapun, Mohd. Asri berkata, apa yang lebih penting ialah tokoh yang menjadi orang tengah itu mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan diterima masyarakat meskipun beliau merupakan pemimpin politik.

Dalam mubahalah, seseorang yang dikaitkan perlu menyebut "Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku" manakala satu pihak lagi perlu menyebut " Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku."

Terdahulu di KUALA LUMPUR, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin berkata, 18 orang termasuklah doktor yang telah memeriksa Saiful telah disoal siasat.

"Polis masih dalam proses mengenal pasti saki baki beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan mereka akan dipanggil dalam tempoh yang terdekat bagi membantu siasatan," kata Bakri.

Ditanya bila polis akan mengambil keterangan daripada Anwar, beliau berkata: "Semuanya terpulang kepada hasil siasatan polis."

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu hubungan seks tanpa kerelaan.

Sehubungan itu, Bakri meminta saksi supaya jangan sengaja mengelak daripada memberikan kerjasama kepada polis untuk dirakamkan percakapan mereka.

Menurut beliau, perintah mahkamah akan dikeluarkan sekiranya individu tersebut gagal menghadirkan diri pada tarikh dan masa yang ditetapkan oleh polis.

Bakri juga berkata, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan seadil-adilnya tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

"Kes ini akan disiasat dengan adil. Kita akan kumpul seberapa banyak maklumat termasuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan siapa di pihak yang benar," katanya.

Saiful dalam laporan yang dibuat di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur 28 Jun lepas, mendakwa Anwar meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih dekat sini beberapa kali sekitar bulan lalu.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...