Monday, July 7, 2008

UPB-MyTEAM Kekal Rekod Tanpa Kalah

07 Julai, 2008 00:34 AM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Pasukan UPB-MyTEAM terus menampilkan persembahan konsisten sepanjang musim bola sepak Piala Malaysia dengan mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mendahului saingan kumpulan C pada perlawanan pusingan kedua Ahad malam.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan sebelum ini dileburkan oleh pasukan Kedah 3-1 dalam kumpulan B.

UPB-MyTEAM juga sehingga kini menjadi pasukan tunggal yang menang kesemua lima perlawanan sementara PDRM yang telah beraksi dalam enam perlawanan menang tiga kali, seri dua kali dan tewas sekali.

Pada saingan kumpulan A, Negeri Sembilan menumpaskan Melaka 3-2 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit pertama perlawanan melalui jaringan S.Kunalan, diikuti Lamin Conteh Jr (minit ke-61) dan Udo Fortune 10 minit kemudian.

Gol Melaka dijaringkan oleh Ashadi Md Yusuf (minit ke-24) dan Roshaiful Nizam (minit ke-51).

Di Stadium Sultan Muhammad Keempat, Kelantan menewaskan Sarawak 3-2.

Gol Kelantan dijaringkan oleh Mohd Ramzul Zahini pada minit keempat, Mohd Amri Fazal (53) dan Jan Necas (70) sementara gol Sarawak diperolehi menerusi Mohd Dzulazlan (63) dan L.Suresh pada minit ke-67.

Pada perlawanan Kumpulan B, juara bertahan Kedah yang beraksi tanpa empat tonggak utama, menumpaskan PDRM 3-1, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad Kenari yang sebelum ini menduduki tangga keempat kumpulan, memperolehi kemenangan menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit kelima, Mohd Fadzly Baharom (45) dan Marlon Alex James pada minit ke-53 sementara gol tunggal PDRM dijaringkan oleh Mohd Nor Farhan Muhammad pada minit ke-20.

Di Stadium Negeri, Batu Kawan, pasukan tercorot Kumpulan B, Sabah mencatat kemenangan kedua selepas enam perlawanan dengan menewaskan tuan rumah, Pulau Pinang 1-0.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Salvester Sindih pada minit ke-79 hasil rembatan dari luar kotak penalti.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Johor FC membelasah tuan rumah Kuala Lumpur 4-1.

Pada perlawanan Kumpulan C, Pahang menumpaskan Johor Pasir Gudang 2-0 di Stadium Darul Makmur.

Tuan rumah membolosi gawang lawan seawal minit pertama perlawanan menerusi tandukan Redouane Barkaoui sebelum ketua pasukan Norhafiz Zamani Misbah menyumbat gol kedua Pahang pada minit ke-65.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, UPB-MyTEAM menewaskan pasukan tercorot Kumpulan C, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 menerusi jaringan Adwaldo pada minit ke-20 dan Sasa Branezac pada minit ke-87.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...