Monday, July 7, 2008

Polis Teruskan Usaha Jejak Balasubramaniam

06 Julai, 2008 15:29 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Polis telah memulakan usaha untuk mengesan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam yang dilaporkan hilang bersama isteri dan tiga anaknya sejak Jumaat lepas bagi membantu siasatan polis berhubung dua akuan bersumpahnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Bakri Zinin berkata kehilangan Balasubramaniam membantutkan siasatan polis terhadap akuan bersumpahnya bertarikh 1 Julai yang mengandungi butiran tuduhan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibu serta akuan bersumpah yang menarik balik kesemua tuduhan tersebut.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini, Ahad, Bakri berkata kehilangan penyiasat persendirian itu juga telah menimbulkan pelbagai tanda tanya dan andaian daripada orang awam.

"Polis masih menyiasat punca sebenar kehilangan Balasubramaniam dan ada beberapa kemungkinan dikaitkan.

"Mungkin beliau menyembunyikan diri kerana takut...atau kemungkinan ada pihak yang telah menyembunyikan beliau dan ahli keluarganya," katanya.

Polis memulakan pencarian Balasubramanian selepas satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada pukul 5.19 petang semalam berhubung kehilangan beliau dan ahli keluarganya.

Laporan polis itu dibuat oleh anak saudara Balasubramaniam, R. Kumaresan, yang mendakwa gagal berhubung dengan Balasubramaniam selepas beliau menghadiri satu sidang media di sini Jumaat lepas bagi menarik balik tuduhannya mengenai hubungan Najib dengan Altantuya.

Bakri berkata Balasubramaniam tidak perlu takut dan bersembunyi untuk mengelakkan daripada disiasat.

"Beliau tak perlu takut. Polis beri jaminan terhadap keselamatannya dan beliau boleh datang dengan peguamnya berjumpa dengan kita (polis)," katanya.

Ditanya sama ada Balasubramaniam masih berada dalam negara, Bakri berkata: "Setakat ini belum ada laporan yang mengatakan beliau telah keluar negara dan kita juga akan meminta bantuan daripada polis di sempadan negara dan Interpol".

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...