Monday, July 7, 2008

Peserta tidak puas hati bantahan dibuat di stadium

Petikan: Harakah Daily

Intan Abdullah | Foto Wan Zahari Wan Salleh

Sun | Jul 06, 08 | 2:44:05 pm MYT

KELANA JAYA, 6 Julai (Hrkh) - Para peserta Perhimpunan Protes Turun di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ), Kelana Jaya hari ini melahirkan kekesalan atas tindakan pihak berkuasa yang meminta pihak penganjur perhimpunan mengadakannya di dalam stadium secara tertutup.

ImageSeorang peserta yang datang daripada negeri Pantai Timur yang enggan dikenali berkata, tindakan polis dan kerajaan yang memaksa jawatankuasa penganjur mengadakan perhimpunan di dalam stadium bertujuan mahu menutup gambaran sebenar 'amarah' rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, jika demonstrasi itu dibuat secara terbuka, atau di jalan raya, rakyat akan dapat melihat dengan jelas 'kemarahan' yang ditunjukkan terhadap kerajaan atas sikap sembrono itu.

"Siapa yang akan dapat tengok betapa tidak puas hatinya kami sebagai rakyat yang kian teraniaya dengan kezaliman kerajaan.

Image"Tujuan demonstrasi jalanan adalah untuk membuka mata rakyat di luar sana bahawa mereka perlu melakukan sesuatu yang akan merubah nasib dan masa depan negara ini," katanya.

Pada masa sama, dalam satu ucapan ringkas kepada para peserta perhimpunan di stadium, jurucakap Suaram. Kohila Yanesegaran berkata ini merupakan kali pertama dan terakhir perhimpunan seumpama itu diadakan.

Harakahdaily turut dimaklumkan penganjur bahawa terdapat beberapa buah trak tentera yang berkawal di pintu masuk ke stadium berkenaan pada awal pagi tadi.

ImageTinjauan juga mendapati terdapat pegawai=pegawai polis yang ditugaskan mengawal situasi dari jarak jauh di atas bangunan Menara Glomac dan Kelana Business Centre dengan menggunakan kamera.

Kebanyakan yang hadir turut merungut apabila perkhidmatan talian telefon dan SMS tidak dapat digunakan pada sekitar awal pagi tadi sehingga program berhenti berehat untuk menunaikan solat Zohor.

Suasana di luar stadium cukup meriah dengan gerai jualan barang-barang kempen Protes seperti tshirt, bendera, topi, pengikat kepala dan sebagainya, semuanya berwarna merah, yang dijual kepada pengunjung.

ImageMalah terdapat juga pengunjung yang membawa sepanduk dan kain rentang dengan slogan tema perhimpunan, menarik perhatian lensa kamera media.

Jalan-jalan menuju ke tempat program turut mengalami kesesakan termasuk jalan-jalan utama menuju ke KUala Lumpur dan Petaling Jaya yang dikawal serta mengalami sekatan daripada peserta dari negeri-negeri Pantai Timur, Selatan dan Sungai Besi.

Meskipun pihak kerajaan cuba untuk memadamkan kemarahan rakyat serta melenyapkan peristiwa yang berlaku pada hari ini daripada pengetahuan masyarakat di luar sana, ia masih tetap mendapat liputan yang meluas media daripada dalam dan luar negara.

ImageOrang ramai kesal dengan laporan media arus perdana yang mahu melemahkan semangat rakyat untuk terus menghadiri perhimpunan tersebut dengan menyatakan pelbagai tohmahan termasuk bilangan yang turun hanya sekadar 7,000 orang sahaja.

Dijangkakan kehadiran akan bertambah pada tengah malam ini dengan acara kemuncak perhimpunan hari ini iaitu ucapan pemimpin utama Pakatan Rakyat, termasuk Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang serta Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Petang ini, program akan diteruskan dengan ucapan Menteri-menteri Besar negeri Pakatan Rakyat yang dijangka akan memberi semangat serta pesanan kepada seluruh pejuang rakyat. - mns_

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...