Monday, July 7, 2008

Ong Tee Keat Utamakan Usaha Memperkukuhkan MCA, Enggan Ulas Tanding Presiden

06 Julai, 2008 17:09 PM

PETALING JAYA, 6 Julai (Bernama) -- Walaupun belum membayangkan hasrat bertanding jawatan Presiden parti, Naib Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat berkata keutamaan beliau sekarang adalah untuk mengukuhkan parti itu ekoran prestasi buruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau juga mengelak pertanyaan mengenai laporan baru-baru ini berhubung kesediaan Setiausaha Agung MCA Datuk Ong Ka Chuan menyokong mana-mana calon yang akan bertanding jawatan Presiden Oktober ini.

"Di sini saya berharap rakan-rakan seperjuangan saya, walaupun kita tertewas dalam kawasan tertentu pada pilihan raya lepas, tapi kita tidak pernah patah semangat, tertewas dari serba serbi dan kita tetap yakin kita akan bangkit semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan Chew Mei Fun dan MCA cawangan Damansara Utama di sini hari ini.

Ong berkata beliu tidak mahu anggota parti itu patah semangat mereka berikutan kekelahan itu memandangkan usaha untuk memperkukuhkan kedudukan parti itu akan dilakukan melalui proses transformasi terutama dalam soal mental.

Menteri Pengangkutan itu berkata anggota MCA perlu mempunyai transformasi mental agar menjadi agen penyalur maklumat yang berkesan untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat khususnya berkaitan isu-isu kerajaan persekutuan.

Selain itu, katanya, anggota MCA perlu menjadi saluran untuk rakyat menyampaikan pandangan dan cadangan kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Ong yang juga Pengerusi Perhubungan MCA Selangor itu berkata "transformasi mental" akan membolehkan anggota MCA memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina di negeri itu.

"MCA perlu memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina yang perlu sebarkan maklumat yang tepat khasnya bidang kuasa kerajaan negeri yang mana dasarnya perlu kita halusi, pantau dan tegur jika perlu apabila timbul sesuatu perkara yang menjejaskan kepentingan rakyat," katanya.

"Pihak MCA perlu berusaha mengemukakan pandangan dan cadangan kepada PBT, bukan sekadar kenyataan tapi melakukan satu analisis, satu kajian yang menyeluruh berteraskan aspirasi rakyat semasa, " kata beliau.

Presiden parti Datuk Seri Ong Ka Ting dan timbalannya, Tan Sri Chan Kong Choy telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan 18 hingga 20 Oktober ini.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...