Monday, July 7, 2008

SAPP Tidak Jadi Kemuka Usul Tidak Percaya Terhadap Perdana Menteri

07 Julai, 2008 22:09 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Parti Maju Sabah (SAPP) yang sebelum ini lantang mengatakan bahawa parti itu akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang, tidak jadi meneruskan hasrat itu.

Naib Presiden SAAP Datuk Dr Chua Soon Bui berkata SAPP mengambil keputusan menangguhkan cadangan untuk mengemukakan usul itu ekoran maklum balas positif yang ditunjukkan oleh kerajaan pusat dalam menangani isu pendatang tanpa izin di Sabah.

"Semua yang kami bangkitkan adalah demi faedah dan kepentingan rakyat. Kami tidak akan membangkitkan isu (usul tidak percaya) pada ketika ini dan kami masih dalam Barisan Nasional (BN).

"Mengenai surat tunjuk sebab, kami ada masa hingga 29 Julai untuk menjawabnya.

Kami masih menyokong parti (BN) dalam surat ini mereka mahu kami menjelaskan mengenai usul itu dan kenapa kami tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri katanya kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabatnya di Bangunan Parlimen hari ini.

Selain Dr Chua yang merupakan anggota Parlimen Tawau, seorang lagi anggota Parlimen dari SAPP ialah Eric Majimbun (Sepanggar).

Ditanya mengapa SAPP bercadang berbuat demikian (usul undi tidak percaya), Dr Chua berkata tindakan itu dibuat setelah mendengar keluhan rakyat Sabah yang beliau dakwa 'terluka' apabila permintaan mereka tidak didengari oleh kerajaan pusat.

Beliau berkata antara tuntutan mengenai isu di Sabah yang terkandung di dalam Artikel 161E (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan imigresen dan kewarganegaraan, bidang kuasa Mahkamah Tinggi Borneo, agama, bahasa dan hak pribumi yang timbul daripada "20 Perkara" yang membawa kepada Perjanjian Malaysia 1963.

Dr Chua berkata beliau berpuas hati dengan maklum balas kerajaan pusat dalam menangani isu pendatang tanpa izin di Sabah, namun belum berpuas hati terhadap isu yang lain yang masih belum ditangani.

"Banyak isu lain yang kami harap kerajaan akan pandang serius...ini (pendatang tanpa izin) hanya satu daripada isu yang telah diberikan perhatian ole kerajaan," katanya.

Dr Chua juga menafikan beberapa andaian pihak tertentu kononnya SAPP akan melompat parti untuk menyertai Pakatan Rakyat.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...